Pages

We make a living by what we get, but we make a life by what we give - Winston Churchill

Showing posts with label Helsinki. Show all posts
Showing posts with label Helsinki. Show all posts

Friday, 17 November 2017

Northern Europe Part 6 - Sibelius Park, Finland

15 Oktober 2017, Ahad (Day 6)

Setelah balik dari Suomenlinna, kami ke pusat bandar Helsinki untuk minum kopi/makan tengahari dengan Emmi. Itinerari petang ini selepas minum kopi hanyalah untuk shopping kerana kami membatalkan hasrat kami untuk ke Temppeliaukio Church, yang dikenali juga sebagai Rock Church. Lalu Emmi mengajak ke Sibelius Park kerana menurutnya pelancong yang datang ke Helsinki ini pasti pergi ke sana untuk melihat Sibelius monument.

Menaiki tram No. 4 juga, kami berhenti di Toolon halli dan berjalan kaki lebihkurang 800m untuk sampai ke Sibelius Park. Sekiranya menaiki bas, ada perhentian bas berhadapan dengan kawasan taman.  Ruska, iaitu daun musim luruh masih lagi banyak mewarnai kawasan ini.. tak puas-puas lagi berfoto..  


Inilah dia Sibelius monument, suatu skulptur daripada keluli yang menggambarkan pipe organ, dibina oleh  Eila Hiltunen, bagi mengenang komposer terkenal Jean Sibelius (1865 - 1957). Monument ini mula dipaparkan kepada umum pada 7 September 1967.

 
 
 

Berdekatan dengan monument ini ada satu cafe kopi yang dikunjungi ramai orang tempatan setiap hari, kata Emmi. Di Regatta Cafe kami memesan kopi  dan roti kayu manis yang fresh dari oven.  Yang menariknya, mereka akan pulangkan 10 sen (euro) setiap kali pelanggan isi semula kopi.  Tak terhad sampai berapa kali pun nak re-fill jika sanggup nak beratur semula. 


Masa kami sampai, orang hanyalah seramai ini beratur. Setelah duduk menikmati kopi, kami lihat barisannya lebih panjang daripada kami mula-mula sampai tadi.

 
 
Mula berjalan untuk balik ke perhentian tram, bagi memulakan akviti shopping pula. Sampai di Stockmann, Helsinki, 'tourist guide' kami meneruskan perjalanan untuk balik ke rumahnya kerana banyak assignment perlu disiapkan. 'Bersayonara' dengan tourist guide kerana esoknya, pagi-pagi lagi kami berlepas ke Tromso, Norway.

 
 

Tertinggal keropok di hotel, lalu biarkan ladies dengan akviti shopping. Gentleman balik ke hotel untuk 'retrieve' keropok yang di bawa dari Malaysia untuk diberikan kepada Emmi. Jumpa balik di Stockmann dan kemudiannya ke restoran kebab Turki untuk makan malam sebelum bersayonara dengan Emmi.

Friday, 3 November 2017

Northern Europe Part 2 - Helsinki, Finland

Beberapa hari di sekitar Helsinki

Helsinki, 12 Oktober 2017 (Day 3)

Sampai awal pagi (7am) ke Helsinki dengan ferry Viking lines, kami berjalan ke Hellsten Helsinki Senate Apartment Hotel, yang terletak lebihkurang 500m dari terminal ferry. Kami menempah studio apartment queen bed (berserta kitchenette) untuk 4 malam/5 hari melalui kelab percutian kami di mana kos penginapannya (lebihkurang RM1,400) dibayar dengan mata ganjaran (rovia bucks) yang terkumpul dari percutian-percutian kami sebelum ini.


Waktu daftar masuk adalah selepas 3pm mengikut email yang kami terima dari hotel berkenaan, jadi kami bercadang untuk meninjau bandar Helsinki selepas mendaftar (asalnya berhasrat untuk meninggalkan bagasi di hotel sebelum datang balik jam 3pm nanti, tetapi kami sampai sehelai sepinggang (cerita di entri sebelum ini). Walaubagaimanapun apartment kami telah tersedia pada pagi itu dan kami terus diberi kunci untuk masuk.

Nota

Setelah balik ke Malaysia, kami terima emel dari pihak hotel (foto di bawah).

Kepada sesiapa yang merancang ke Helsinki sebelum penghujung 2018, dan bercadang serta menimbang untuk menginap di apartment hotel yang kami inap ini (atau rangkaian hotel hellsten juga rasanya), boleh hubungi kami untuk mendapat 15% diskaun harga tempahan (tertakluk selagi ianya masih ada pada kami). Buat masa ini kami tiada rancangan untuk ke sana sebelum penghujung 2018.

Dan juga sesiapa yang bercadang untk menempah penginapan di AirBnB, boleh hubungi kami sekiranya inginkan potongan harga RM105, tertakluk kepada penginapan yang ditempah (dan juga tertakluk selagi tawaran ini masih sah untuk kami berikan)



Setelah berehat sebentar, kami berjalan kaki ke ke bandar di mana pusat bandarnya hanyalah dalam 1.5km sahaja dari hotel.

Melalui kawasan taman kecil berhampiran hotel...


Ini adalah Uspenski Orthodox Church, Helsinki, terletak di atas sebuah bukit kecil di sebelah taman yang kami lalui...


Dalam 800m lebih berjalan kaki dari gereja tersebut, kami sampai ke kawasan Senate Square.. Di sini terdapat bangunan Helsinki Cathedral dan di sebelah kawasannya pula adalah University of Helsinki.


... dan dalam 700m dari Senate Square kami sampai pula ke kawasan pusat bandar di mana terletaknya Central Railway Station (pusat perhubungan transport)

 

Central Railway Helsinki..


Kami singgah membeli sedikit persalinan di H&M sebab bagasi yang "hilang" belum ada khabar berita bila akan sampai..

Kemudian kami menuju ke Kamppi Shopping Centre, berjumpa Emmi, rakan sekolah menengah, dari Bachok, Kelantan. Emmi telah menetap di Helsinki lebih 11 tahun di mana keluarganya mengambilalih perniagaan restoran Singapore Hot Wok dari pemilik asalnya, orang Singapore. Boleh dikatakan setiap tahun Emmi akan balik ke Kelantan berjumpa keluarga di samping membawa balik bekalan budu cap ketereh. Baru sebulan lepas Emmi dan komuniti Kelantan yang ada di sini 'mengacau suro'. 

Enak sungguh kuey teow goreng.. the best in town.. Memandangkan sebahagian ahli keluarganya muslim jadi mereka dah terbiasa dengan cara pemakanan halal dan mempraktikkan di restoran mereka.



13 Oktober 2017 (Day 4)

Semasa berada di atas ferry dari Stockholm hari itu, kami menerima email dari Direct Ferries yang memberitahu bahawa tempahan ferry kami ke Tallinn, Estonia telah dibatalkan. Mereka menawarkan penempahan lain atau memulangkan kembali wang tempahan. Kami memilih untuk mendapatkan kembali wang tempahan kerana kami tidak punya tarikh sesuai yang lain (tempahan ini dipulangkan melalui kad kredit beberapa hari kemudian). Dengan bagasi kami yang masih belum sampai, kami pada mulanya bercadang untuk membatalkan saja hasrat untuk ke Estonia di percutian kali ini.

Jam 7.30 waktu pagi, waktu subuh masih ada.. foto dari tingkap apartment kami...


Pada malam sebelumnya kami cuba membuat tempahan ferry ke Tallinn sekali lagi dan kami dapati ada ferry yang sesuai untuk day trip, adalah dalam 3 atau 4 jam boleh bersiar di Tallinn (perjalanan ferry lebihkurang 2 jam sehala) dan harganya sedikit lebih murah dari yang kami tempah dahulu.

Malangnya, tempahan online tidak berjaya kerana kami tidak mempunyai line telefon untuk kod pengesahan (TAC) melalui SMS. Tempahan melalui PAYPAL juga tidak berjaya kerana ia juga memerlukan line telefon untuk pengesahan. Setelah berhubung dengan pihak bank di Malaysia melalui FB Messenger, mereka akhirnya memerlukan pengesahan suara dan meminta nombor telefon untuk mereka membuat panggilan. Nak guna nombor telefon hotel, reception desk dah tutup, akhirnya kami membuat keputusan untuk pergi membeli tiket ferry di kaunter ferry dengan harapan tiket yang kami kehendakki itu masih ada. 

(TIPS : Sekiranya anda ingin membuat tempahan online di luar negara, dan sekiranya tempahan anda memerlukan pengesahan melalui SMS (TAC etc), make sure telefon anda boleh roaming. Jika tidak, sila buat tempahan online semasa anda masih berada di Malaysia) 

Pagi-pagi keluar berjalan ke Terminal ferry. Kami orang pertama membeli tiket ferry sebaik saja kaunter dibuka. Dapatlah tiket yang kami kehendaki itu dengan harga sedikit mahal dari harga online, tetapi lebih murah dari tiket kami yang dibatalkan dulu. Ferry bertolak jam 11 pagi, memang ramai orang ke Tallinn pagi itu. (entri Tallinn kemudian nanti)

Bila balik dari Tallin, kami dapati bagasi kami telah pun sampai.. gembiranya...😊



14 Oktober 2017 (Day 5)

Hari ini kami ke Porvoo dan kami ada tourist guide, anak buah yang sedang menuntut di University Helsinki. Tiket perjalanan bas semua dia yang uruskan secara online.  Hasrat untuk berkunjung ke Nuksio National Park, untuk memetik berries hutan terpaksa dilupakan, memandangkan hari hujan, walaupun tidak lebat.  Pada musim autumn biasanya akan beserta dengan hujan, menyebabkan aktiviti agak terbatas.

Breakfast di hotel sebelum bertolak ke Porvoo.. (entri Porvoo kemudian nanti).. dah beberapa hari tak jumpa nasi.. 😋


Posing dulu sebelum menaiki tram No. 4 ke pusat bandar untuk menaiki bas ke Porvoo di terminal bas Kamppi yang terletak di bahagian bawah Kamppi Shopping Centre...


15 Oktober 2017 (Day 6)

Itinerari hari ini pula adalah ke Suomenlinna island (World Heritage Site) dengan tourist guide yang sama. Suomenlinna terletak tidak jauh dari Helsinki dengan menaiki bot. Untuk itinerari seharian hari ini, kami membeli day-pass (Euro$9 seorang dewasa) valid 24 jam untuk menaiki tram di Helsinki dan bot ke Suomelinna. Day pass ini boleh digunakan untuk semua mode pengangkutan awam yang ada di Helsinki.

Foto-foto di sekitar jetty boat di Helsinki, yang tidak jauh dari hotel kami.. kalau berjalan kaki adalah dalam 600m lebih. Kami naik tram saja sebab dah ada day-pass (entri Suomenlinna kemudian nanti)

 

Balik dari Suomenlinna, kami minum kopi dulu di pusat bandar Helsinki...

 

 Kemudian kami ke Sibelius Park pula.


Lewat petang balik dari Sibelius Park kami spend masa di pusat membeli belah Helsinki. Keesokan harinya kami akan berlepas ke Tromso, Norway, meninggalkan Finland. Emmi yang tak kerja hari tu turut meluangkan masa bersiar-siar bersama kami.

Hari tu Stockmann ada sale, last day of sale... katanya inilah department store yang terbesar di Helsinki..


Selesai shopping, makan malam di sebuah restoran Turki. Pemiliknya adalah seorang rakan baik suami Emmi. Sepanjang kami di Helsinki, kami tidak pernah pula nampak sebuah restoran yang mempamirkan tanda 'HALAL'. 

 

Monday, 30 October 2017

Northern Europe Part 1 - Flight Delay, apa yang perlu dilakukan?


Ketibaan - 10 & 11 Oktober, 2017

Percutian kami kali ini bermula dengan penerbangan KLM yang sepatutnya berlepas dari KLIA pada jam 11:20 malam, Selasa 10/10/2017 menuju lapangan terbang Schiphol, Amsterdam (untuk transit selama 2jam 30 minit) dan seterusnya ke lapangan terbang Arlanda di Stockholm, Sweden yang sepatutnya tiba jam 10:30am waktu Sweden, keesokan harinya.

Segalanya seperti biasa sahaja sehinggalah kami menerima mesej di Messenger/Whatsapp/Email dan juga pengumuman bahawa penerbangan kami dijadualkan lewat kerana kelewatan tiba pesawat dari Jakarta.


Kami pernah mengalami insiden kelewatan penerbangan sebelum ini, tapi inilah pengalaman pertama kali kami terlepas connecting flight dan juga pertama kali kami sampai ke destinasi tanpa bagasi.

TIPS : Pilih saluran komunikasi di website syarikat penerbangan sekira ianya ada disediakan. Ini dapat membantu penerimaan info serta membolehkan anda berhubung/berkomunikasi dengan syarikat penerbangan dengan lebih pantas sekiranya perlu. Kami memilih semua saluran yang ada iaitu; FB messenger, Whatsapp dan Email selain dari telefon untuk tujuan ini. Boleh dikatakan kami dapat berhubung secara 'LIVE' melalui FB messenger/Whatsapp sepanjang episod kelewatan penerbangan ini.

Contoh komunikasi melalui whatsapp dengan KLM sebelum berlepas:-

(Whatsapp)
Contoh komunikasi melalui FB Messenger dengan KLM setelah mendarat di Amsterdam:-

(FB messenger)
Jam 00:53 tengah malam (dah masuk hari lain pun) masih belum lagi nampak bayang pesawat di balai berlepas.  Apabila kami berbual dengan pramugari serta pilot pesawat semasa menunggu di balai berlepas, mereka memberitahu bahawa connecting flight kami akan ditempah secara otomatik apabila sampai di Amsterdam, tetapi pilot memberitahu bahawa dia akan cuba terbang untuk sampai seawal mungkin dengan harapan kami tidak perlu terlepas penerbangan seterusnya. Pihak KLM menyediakan minuman serta snack percuma sambil menunggu pesawat yang belum lagi sampai.

Akhirnya kami berlepas hampir jam 2 pagi dan ianya sudah pasti kami akan terlepas connecting flight di Amsterdam yang dijadualkan berlepas jam 8.30pagi waktu Amsterdam.

Terjaga di pertengahan pernerbangan, snap foto kat screen.. 


Jam waktu tempatan menunjukkan 8.15am ketika mendarat di Amsterdam, tinggal 15 minit lagi sebelum connecting flight ke Arlanda, Stockholm akan berlepas.  Keluar saja dari pintu pesawat, petugas KLM menunggu dengan memegang papan tanda meminta kami berlari ke pintu berlepas.

15 minit?? persoalan dalam kepala. Kena scan nak masuk balai berlepas lagi, kena lepas check point imigresen lagi dan.... balai berlepas? Mak datuk! ada dalam 1 km kot dok berlari? Anyway, kami fikir connecting flight pun mungkin delay kot? Lalu kamipun bergegas la juga. Pegawai di imigresen check point (setelah memberitahu beliau situasi yang kami hadapi) siap bagi laluan VIP lagi kepada kami. 

Sampai di pintu berlepas, 8.45am... pesawat dah tiada. Hampeh!

Kami kemudian terus ke travel desk dan di situ kami mendapat tahu bahawa tiada pun otomatik rebooking flight dibuat untuk kami akibat kelewatan itu.

Minta petugas KLM book mana-mana flight yang ada untuk sampai ke Stockholm selewat-lewatnya jam 1 tengahari kerana kami ada connecting ferry pula di Stockholm untuk ke Helsinki, Finland (destinasi pertama kami untuk percutian ini). Tiket ferry pun dah beli lama dulu.

Ada satu flight jam 11pagi ke Arlanda, Stockholm... cantik!! tapi ada satu seat saja yang tinggal! Waduh!! Kami hanya ada satu option sahaja hari itu, iaitu terbang ke Helsinki, Finland dan dari sana terbang balik ke Arlanda, Stockholm, ETA 2pm. Otherwise kena tidur kat Amsterdam, ambil penerbangan esoknya. Alamak!!

Banyak benda nak kena timbang dalam kepala. The only option yang ada ni pula, tinggal 45minit lagi sebelum flight berlepas ke Helsinki.
  • Tidur di Amsterdam? No way!
  • Pergi ke Helsinki saja, tak payah balik ke Stockholm, hanguskan cita-cita dan naik cruise Baltic Sea ke Helsinki... tapi bagasinya pula macamana? KLM kata bagasi akan bersama kami dari Amsterdam ke Helsinki dan ke Arlanda, Stockholm... aarrgghh!!
  • Nantikan sampai lewat ke Stockholm, terlepas ferry pulak, macamana? Tidur kat Stockholm? Tiket ferry hangus, ada ke transport lain ke Helsinki atau nak kena tidur di Stockholm pula?
Macam manapun kami terpaksa ambil the only option yang ada. Semua kos penerbangan ini ditanggung oleh KLM. Kami dijadualkan mendarat di Arlanda, Stockholm jam 2.10pm. Waktu Helsinki dan waktu Stockholm berbeza sejam.. perbezaan waktu itupun kami kena teliti betul-betul sebelum buat keputusan.


Terus ke pintu berlepas... alamak!! Flight delay juga!!! Tapi mujur hanya 10 minit delay. KLM 1167 ke Helsinki, Finland memakan masa 2jam 20 minit penerbangan.


Mendarat di lapangan terbang Helsinki, kami mempunyai masa lebihkurang setengah jam lagi sebelum pintu pelepasan ditutup. Nasib baiklah pintunya tidak jauh sangat dari pintu ketibaan. Kali ini kami menaiki penerbangan Finnair pula untuk ke Arlanda, Stockholm yang memakan masa selama lebihkurang satu jam penerbangan.

 

Mendarat di Arlanda, tunggu punya tunggu sehingga belt bagasi berhenti berputar, kami dapati bagasi kami tiada.  Dua beg semuanya, yang checked-in semasa di KLIA. Staff yang bertugas di kaunter pun pening bila diberitahu kami tiba dari Finland, dan kemudian rushing nak ambik ferry ke Finland pula... aahh.. apa-apalah.. yang sebetulnya kami tak punya banyak masa untuk tunggu bagasi di situ.

Terus buat report kehilangan luggage. (PIR -Property Irregularity Report).  Bagasi akan dihantar ke alamat hotel di Finland.


Selesai urusan laporan, jam ditangan menunjukkan 2:50pm. Terminal ferry terletak di bandar Stockholm, 50km jauh dari Arlanda airport. Tanpa bagasi, laju aja kami bergegas keluar airport, terus ambil teksi yang pertama yang ada di luar. Ada lebih kurang sejam lebih untuk sampai ke terminal ferry. Drebar teksi kata, "oh yes.. we should be there in 45 minutes"..legaaa!!!


Rancangan asalnya (sekiranya tiada kelewatan penerbangan), kami akan ke terminal ferry dari Arlanda dengan menaiki bas ke pusat bandar dan dari situ samada menaiki metro/tram ataupun teksi ke terminal ferry (dalam 3.5km dari pusat bandar). Mengikut jadual asal kami sepatutnya ada banyak masa (4jam) untuk ke terminal ferry dari Arlanda. Dan kosnya dianggarkan dalam RM100 lebih sahaja untuk kami berdua. Kos teksi yang kami naiki hari itu adalah Euro$80, 4 kali ganda lebih mahal dari yang dirancangkan.

Teksi di Stockholm terkenal juga dengan scam. Masa tu kami tak sempat pun terfikir semua itu walaupun pernah terbaca tentangnya.  Bila ditanya apakah boleh dibayar dengan kad.. katanya ya.. tapi bila sampai ke destinasi mesin kad tidak dapat digunakan dan kami terpaksa membayar dengan Euro kerana belum mempunyai matawang Krona Sweden (SEK). Tapi di dashboard teksi itu adalah juga dia letak notis harga minima dan maksima dalam SEK. Sebelum berlepas pun drebar teksi itu dah bagi tahu harga, cuma bila bayar dalam euro tu lebih mahal sedikit nilai tukaran matawang sekiranya dibangdingkan nilai SEK. Kami diberitahu kemudiannya, supaya memilih teksi yang berwarna hitam yang ada tertera nombor telefon dipintunya sekiranya hendak menggunakan perkhidmatan teksi di Stockholm.

Sampai di terminal ferry. Guna nombor tempahan semasa bila online dulu, kami dapatkan pass masuk ke ferry menggunakan mesin ini di terminal ferry Stockholm.

 

Sampai masa untuk berlepas ke Helsinki menaiki ferry menerusi Lautan Baltic.. sehelai sepinggang dengan hanya beg kandar, tanpa bagasi..


Viking Lines, MS Mariella..


Ini cabin tidur untuk malam ini...


Pemandangan dari MS Mariella semasa meninggalkan Stockholm..


Ikea, Sweden..


matahari semakin terbenam...


Makan malam kami di coffee cafe MS Mariella...


Ini pandangan dari atas, ruangan utama/lobi MS Mariella


 Tengah malam terjaga, ferry singgah sebentar di port mana entah..


Ini waktu pagi-pagi lagi, orang lain masih nyenyak tidur.. kami bangun untuk melihat matahari mula muncul... keadaan gelap serta sejuk di luar Captain's deck, deck yang paling atas..


Sarapan pagi dengan panorama terbitnya mentari...


 Sampai ke terminal ferry di Helsinki, Finland


Berjalan kaki ke apartment hotel yang terletak lebihkurang 400 meter dari terminal ferry... Kami akan menginap di situ selama 4 malam di Helsinki..


TIPS : Elok simpan segala dokumen perjalanan seperti tiket penerbangan, itinerari penerbangan, boarding pass, tag bagasi, resit-resit pembelian barangan/perkhidmatan, dokumen komunikasi seperti emel, laporan dan lain-lain sehingga anda selamat pulang ke tanahair dan tiada apa-apa lagi perkara yang perlu di followup. Ini penting especially apabila anda ingin membuat tuntutan insuran. Kami mendapat pengalaman pertama berkaitan ini semasa bercuti di Milan, Itali dulu.

Dimasa hadapan, sekiranya perlu mengambil penerbangan KLM dan transit di Amsterdam, kami mungkin akan mengambil masa transit sekurang-kurangnya 3 jam... dalam keadaan biasa pun sekurang-kurangnya 1 jam (lebih kalau musim ramai orang) untuk melepasi scan masuk dan imigresen check point.

Facebook Badge

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...