Pages

We make a living by what we get, but we make a life by what we give - Winston Churchill

Saturday 28 July 2018

Reykjavik, Iceland - Jun 2018

Day 2 - 25 Jun, Isnin - Reykjavik

Dari Keflavik kami sampai ke pusat bandar Reykjavik sekitar jam 11am. Keadaan yang berangin dengan suhu 20c terasa agak sejuk walaupun cuaca cerah dengan sinaran mentari. Waktu check in tempat penginapan jam 4pm, lalu kami bersiar-siar di sekitar bandar dulu.

Tempat tumpuan pelancong yang pertama kami sampai.. kawasan gereja Hallgrímskirkja.

 

Berjalan kaki bersiar-siar di kawasan sekitar..

 
 

Kemudian bersiar-siar dengan kereta pula. Parking tepi jalan (bertenggek) sekejap untuk snap foto di kawasan ini..

 
 

Kami sampai ke kawasan Harpa Concert Hall (sekadar melihat dari luar sahaja sambil memandu) dan kemudiannya singgah di kawasan berdekatan untuk snap foto Sunvoyager.

 

Dalam pukul 3pm kami sampai ke tempat penginapan  AirBnB Soley's Place, Graenlandsleid Grafarholt, lebihkurang 10km dari pusat bandar Reykjavik.


Pemandangan luar tempat penginapan..

  

Dalam kawasan rumah penginapan yang teratur dan kemas..

 

Badan yang kepenatan setelah menempuh perjalanan yang jauh, rasa tak sabar-sabar nak cari bantal. Bilik tidur di Iceland dilengkapi dengan tirai yang agak tebal/hadang cahaya untuk keselesaan tidur kerana matahari memancar sepanjang hari musim panas ini. Tidur sekejap dan terbangun menjelang tengah malam. Pengalaman pertama merasai berada dalam suasana tengah malam yang tak gelap-gelap, bagaimana pun mata agak susah juga untuk lena.


Bangun untuk lihat matahari di tengah malam. Bagaimana pun langit diselaputi awan tebal menutupi matahari. Foto "Midnight sun" ini adalah pada lebih kurang jam 11:30 malam dan kemudian matahari tidak lagi kelihatan dek dilindungi awan tebal.

  

Matahari dilindungi awan lagi sebaik sahaja hampir terbenam. Jam pada waktu ini telah melepas 12 tengah malam.


Keesokannya, kami bertolak awal-awal pagi kerana jauh perjalanannya untuk sampai ke tempat penginapan seterusnya di samping menyinggah di beberapa tempat di sepanjang perjalanan.

Thursday 26 July 2018

Jun 2018 - KL ke Keflavik

24/06 Ahad : Kuala Lumpur ke London (Gatwick)


Bermula dengan penerbangan 10.30pagi di KLIA (GMT+8), menaiki pesawat Emirates menuju ke Dubai International Airport (DXB), lebihkurang 7 jam penerbangan. Transit di DXB (GMT+4) selama lebihkurang 2 jam sebelum bertukar menaiki pesawat Emirates lain untuk ke London Gatwick (lebihkurang 8 jam penerbangan).


Kami mendarat di London Gatwick Airport (LGW) North Terminal, lebihkurang jam 8 malam waktu London. 

Bermalam di LGW (GMT+1) untuk menunggu menaiki pesawat seterusnya pada awal pagi keesokan harinya. Ada sebuah bilik khas yang disediakan sebagai tempat beribadat untuk kegunaan bersama penganut-penganut agama Islam, Kristian dan lain-lain.


Bermula jam 10 malam, 'self-check in luggage / bag-drop' telah dibuka untuk kami check-in bagasi. Semasa check-in bagasi, tidak ramai orang yang 'check-in' bagasi berbanding keesokan harinya di mana terdapat barisan panjang menunggu giliran. Kami dah agak situasi ini melalui pengalaman kami sebelum ini, menaiki penerbangan EasyJet. Ini kali kedua kami menaiki pesawat EasyJet. Seelok-eloknya tibalah di lapangan terbang 4 atau 5 jam sebelum waktu berlepas (sila baca ini) sekiranya anda memilih penerbangan EasyJet (ataupun RyanAir) kerana kami rasa airlines tambang murah ini popular di sebelah sana.

25/06 Isnin : London ke Keflavik, Iceland


Penerbangan EasyJet dari London (LGW) ke Keflavik International Airport, Iceland (KEF) berlepas jam 6.30 pagi, mengambil masa lebihkurang 3 jam penerbangan untuk sampai. Perbezaan masa London (GMT+1) dengan Iceland (GMT 0) adalah sejam.


Sesampainya di airport Keflavik, kami mengambil car rental shuttle bus (tempat menunggu shuttle, lebihkurang 100m berjalan kaki, di luar balai ketibaan) untuk ke Iceland Car Rental.


Suzuki Swift yang kami sewa selama bercuti di Iceland.

 

Dalam lebihkurang 5km daripada airport, kami singgah di stesen minyak ini untuk membeli simkad dan juga sedikit bekalan makanan snek di grocery bersebelahannya. Dari Keflavik airport, kami memandu sejauh lebh 50km untuk sampai ke Reykjavik (next post), bandar tempat penginapan hari pertama kami di Iceland.

 

Tips

Penggunaan wang tunai/kad

Sepertimana negara-negara eropah utara yang lain yang pernah kami ziarahi, pembelian menggunakan kad debit/kredit nampaknya adalah lebih diutamakan daripada pembelian tunai.

Banyak juga stesen-stesen minyak di Iceland adalah 'self-service' di mana hanya ada pam minyak dan mesin menerima pembayaran sahaja (tiada kaunter/kedai). Pembayaran dibuat melalui kad yang menggunakan nombor pin. Tetapi nombor pin yang mereka gunakan hanyalah 4 digit (seperti juga di London semasa kami mengambil kereta sewa, 4 digit juga kata mereka). Ini menjadi masalah untuk mengepam minyak di stesen-stesen 'full self-service' yang tiada kaunter/kedai. Kami mencuba beberapa kali dengan kredit kad Malaysia sehingga kena block sebab pin kita lebih dari 4 digit.

Di Iceland, kami dapati, stesen-stesen minyak di pekan/bandar sahaja yang ada kaunter. Itupun adalah setengah-setengah stesen yang ada kaunter, terpaksa juga bayar pam minyak di mesin bayaran di pam. Kalau jauh dari pekan/bandar, selalunya stesen minyak adalah 'full self service', tiada orang langsung untuk melayan kita. Untuk lebih selamat, isikan saja minyak apabila jumpa stesen minyak, biar tangki sentiasa penuh. Nak hantar kereta nantipun, minyak kena penuh.

Satu lagi cara ialah dengan membeli prepaid currency card yang ada dijual di airport dan stesen-stesen minyak. Prepaid card ini boleh digunakan di seluruh Iceland untuk sebarang pembelian. Di Iceland, kami hanya menukar sedikit sahaja matawang (tunai) Iceland sebagai standby. Kredit kad kami langsung tidak boleh digunakan di sana sekiranya tempat pembelian itu 'full self service'. Ianya hanya dapat digunakan apabila ada kaunter servis (kena tandatangan slip pembayaran).


Penyewaan kenderaan - 4 wheel drive or 2 wheel?

Persoalan sebelum kami membuat keputusan untuk booking kereta sewa.  Perjalanan Ring Road 1 tidak memerlukan kenderaan pacuan 4 wheel, melainkan jika ingin meneroka lebih melalui jalan kategori 'F' atau 'F-roads' .....

Ring road 1 (Þjóðvegur 1), angka satu digit, bolehlah dikategorikan sebagai lebuhraya/jalan utama, ada sebahagiannya 2 lanes dan sebahgiannya lagi satu lane. Jalan yang bertandakan 2 digit angka, bolehlah dikatakan jalanraya satu lane, selesa untuk memandu. Kalau jalan yang bertandakan 3 digit angka, ianya merupakan jalan satu lane yang lebih sempit dan ada sebahagian darinya tidak berturap (gravel road), terutama sekali sekiranya anda masuk ke pendalaman.

Elak menyewa kereta dari syarikat sebarangan kerana ia mungkin tidak menyediakan perlindungan insuran yang sepatutnya. Walaupun kita hanya bercadang untuk memandu di atas jalanraya yang berturap, kadangkala kita terpaksa juga menempuh jalan yang tidak berturap (umpamanya untuk sampai ke air terjun yang menarik) yang mana batu-batan  atas jalan (yang kadangkala agak besar) mungkin boleh merosakkan undercarriage kereta. Pastikan menyewa kereta dari syarikat yang 'ada nama'.


Selepas memandu jalan-jalan yang tidak berturap, kereta akan kotor dan diselaputi debu tebal (macam selut bila anda memancarkan air ke cermin untuk melihat jalan). Singgahlah di stesen-stesen minyak berdekatan yang ada menyediakan pancur air serta berus untuk membersihkan kereta. Ianya disediakan secara percuma di beberapa stesen minyak (tidak semua stesen).  Selama seminggu kami memandu di Iceland, sebanyak 3 kali menggunakan self-servis ni... tak sanggup memandu dalam keadaan kereta yang comot begitu.

Musim panas di Iceland

Anggapan kami dengan suhu 14c- 20c sepanjang kami berada di sana, cukuplah sekadar membawa jaket nipis ala-ala spring coat.  Rupanya kami silap.  Menggigil kesejukan lah juga.  Nasib baik tergerak hati nak selitkan juga baju heater long john dan scaft  yang dikait sendiri hadiah dari sahabat.  Cuaca di Rekjavik lebih sejuk dan berangin berbanding di Akureyri.

Baju hujan juga perlu kerana cuaca yang tidak menentu.. kejap hujan kejap berhenti.. walaupun hujan renyai-renyai. Baju hujan juga elok dibawa apabila pergi ke air terjun untuk mengelakkan badan tersimbah air terjun.

Musim panas ialah waktu puncak.. harga hotel/penginapan adalah lebih mahal.. elok buat tempahan se awal mungkin. Kami mencari hotel/penginapan di pekan-pekan kecil berdekatan dan di kawasan bukan tumpuan pelancongan, yang kesemuannya lengkap dengan kitchenette.   


Saturday 21 July 2018

Jun 2018 - Midnight Sun - Itinerari Percutian

Selepas Aurora Borealis di Tromso, Norway pada akhir tahun lepas, kami membuat perancangan sendiri untuk merasai suasana fenomena  "Midnight Sun" dengan destinasi pilihan ke Iceland.

"Midnight Sun" - berpandukan waktu solat, waktu matahari terbenam (lebihkurang waktu maghrib) adalah pada tengahmalam:-


 Secara kasarnya kami merancang expedisi Iceland perjalanan seperti peta di bawah ini:-


Perancangan kami bermula sejak awal tahun lagi dan kami mula menempah itinerari percutian (penginapan & sewa kereta) sebaik sahaja kembali dari percutian di Iran pada bulan Mac lepas. Tiket kapalterbang ke Iceland telah dibeli sejak awal tahun, sebelum menunai umrah (Mekah dan Madinah) ziarah ke Palestin dan Jordan pada bulan Februari dulu.

Tiga pilihan penerbangan yang kami teliti untuk ke Iceland iaitu:-
1. KL-Copenhagen-Keflavik
2. KL-Finland-Keflavik
3. KL-London-Keflavik

Akhirnya kami memilih KL-London kerana ingin ke Swindon lagi. Dah dua kali kami ke Swindon sebelum ini.

Setelah membuat carian di websites (skyscanner adalah antara carian yang kami minati), tiket yang paling ekonomikal ke London Gatwick adalah yang ditawarkan oleh Emirates melalui website BudgetAir. Kami mendapat tiket promo, tetapi bagasi semasa departure adalah terhad kepada 20kg seorang dan limit bagasi sewaktu kembali adalah 30kg seorang.  Sudah memadai pun. Dari Gatwick, kami menempah penerbangan tambang murah EasyJet untuk ke Keflavik, Iceland.

Itinerari

Berikut adalah itinerari yang kami rancangkan sendiri, di mana ada sedikit perubahan yang kami lakukan setelah sampai ke Iceland:-


Day 1 - 24/6 Ahad
KUL->DXB (7 jam), transit 2 jam, DXB->LGW (8 jam), overnight di airport LGW

      Day 2 - 25/6 Isnin
      LGW->KEF (3 jam), landing 8:45am - REYKJAVIK (50km)

          Day 3 - 26/6 Selasa
          REYKJAVIK->LAMBAFELL (270km)

              Day 4 - 27/6 Rabu
              LAMBAFELL->STODVARFJORDUR (515km)

                  Day 5 & 6 - 28 & 29/6 Khamis & Jumaat
                  STODVARFJORDUR - AKUREYRI (460km) 

                  Day 7 - 30/6 - Sabtu
                  AKUREYRI->SKAGASTROND (180km)

                  Day 8 - 1/7 - Ahad
                  SKAGASTROND->REYKHOLT->KEFLAVIK (345km)


                  Day 9, 10, & 11 - 2, 3 & 4/7 - Isnin, Selasa & Rabu
                  KEF->LGW (3 jam)->SWINDON


                  Day 12 - 5/7 - Khamis
                  LGW->DXB (7 jam) transit 2:30hr

                  Day 13 - 6/7 - Jumaat
                  DXB->KUL (7 jam) landing 14:35pm


                  Perbelanjaan

                  Selama 8 hari 7 malam di Iceland, kami memandu meliputi jarak  2,254 km untuk melengkapkan pusingan Ring Road 1. 

                  Kos perbelanjaan percutian untuk 2 orang adalah seperti di bawah, yang dianggarkan kepada pertukaran matawang semasa antara RM dengan Iceland Kroner, British Pound dan US Dollar. Sebahagian besar perbelanjaan (kecuali tiket penerbangan dan sewa kereta) dibiayai oleh mata ganjaran tunai terkumpul dari tempahan-tempahan percutian sebelum ini dan aktiviti-aktiviti kelab yang diperolehi dari kelab percutian kami.

                  Tiket Penerbangan
                  Emirates KUL-LGW-KUL (RM4,750)
                  EasyJet LGW-KEF-LGW (RM1,300)

                  Insuran Perjalanan
                  Keseluruhan Percutian (RM100)

                  Sewa Kereta
                  Iceland - Suzuki Swift 7 hari (RM2,300)
                  London - VW Golf 3 hari (RM1,400)

                  Penginapan
                  Di Iceland (RM3,000)
                  Di London (RM750)

                  Minyak kereta
                  Iceland (RM1,500)
                  London (RM200)

                  Makan dan perbelanjaan grocery
                  Iceland (RM1,500)
                  London (RM500)

                  Lain-lain (Parking, Toll, Simkad)
                  Iceland & London (RM200)
                  Jumlah kos percutian keseluruhan (Iceland dan London) lebihkurang RM17,200, iaitu lebihkurang RM8,600 seorang.


                  Facebook Badge

                  LinkWithin

                  Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...