Hari ini (dengan bantuan staff hotel pada hari sebelumnya) kami menempah sebuah teksi dengan drebarnya sekali untuk ke Damnoen Saduak Floating Market dan mana-mana tempat yang menarik di sekitar Bangkok, dari pagi hingga petang. Sewa sehari, THB2,000 termasuk semua (minyak, tol dsb). Drebarnya bolehlah juga berkomunikasi sedikit-sedikit dalam bahasa Inggeris.
Sebenarnya, kami awal-awal lagi sudah tidak bercadang ke floating market kerana pada telahan kami, ianya biasa-biasa saja dan bukanpun kami mahu membeli belah di sana. Itinerari sebenar kami adalah untuk sunset cruise di Sungai Chao Phraya. Kami akhirnya memilih juga Damnoen Saduak ini setelah mengetahui yang harga sunset cruise ini agak mahal.
Sebenarnya, kami awal-awal lagi sudah tidak bercadang ke floating market kerana pada telahan kami, ianya biasa-biasa saja dan bukanpun kami mahu membeli belah di sana. Itinerari sebenar kami adalah untuk sunset cruise di Sungai Chao Phraya. Kami akhirnya memilih juga Damnoen Saduak ini setelah mengetahui yang harga sunset cruise ini agak mahal.
Sebagai gantian kepada itinerari sunset cruise, kami menyewa teksi dan drebar seharian untuk pergi ke Damnoen Saduak Floating Market, Maeklong Railway Market, Wat Arun, Masjid Tonson dan akhir sekali meminta drebar meninggalkan kami di 'Little India'/ Phahurat fabric market.
Hajatnya selepas 'Little India', nak jalan-jalan di 'China Town' dan Asiatique, tetapi oleh kerana hujan, kami terus balik ke hotel selepas membeli kain di 'Little India'.
Pasar terapong ini terletak lebih 100km dari hotel kami yang mana perjalanan teksi mengambil masa lebih satu jam setengah untuk sampai. Keadaan trafik tidaklah jam sangat kerana kami 'melawan' aliran trafik yang masuk ke pusat bandar Bangkok.
Atas arahan King Rama IV, Pasar Terapong Damnoen Saduak (floating market nombor satu Thailand, kata drebar) mula dibina pada kurun ke-18 (1866) dan siap dua tahun kemudiannya, menghubungi sungai Mae Klong dan Tha Chin. Ia merupakan terusan terpanjang (32km) dan mula dijadikan sebagai pusat tarikan pelancongan pada 1971.
Dalam perjalanan, kami melewati kawasan 'brine-salt farm' di mana air laut dipamkan untuk dikeringkan dengan panas matahari. Kami tidak mengambil foto-foto 'ladang garam ini' tetapi dari kereta kami, ianya kelihatan seperti kawasan sawah yang luas (lihat foto-foto di artikel ini yang memberikan penerangan lanjut mengenainya). Kali pertama kami mendapat tahu cara penghasilan garam semacam ini.
Kami juga melewati ladang kelapa yang luas dan Amphawa Floating Market sebelum sampai ke Damnoen Saduak. Kata drebar, Amphawa hanya dibuka pada hari minggu, tidak memerlukan bayaran masuk dan, dijelajahi dengan berjalan kaki, bukan dengan boat/perahu. Ianya terletak lebihkurang 14km sebelum sampai ke Damnoen Saduak.
Masih tidak begitu ramai lagi pelancong semasa kami sampai, tetapi kami kena menunggu giliran seketika untuk mendapatkan boat di jetty ini.
Kami mengambil pakej satu boat untuk kami berempat, menjelajahi pasar sehingga 2 jam dengan satu perhentian (naik ke darat) di tempat penghasilan gula kelapa. Bayaran yang dikenakan adalah THB4,000.
Bermula dari jetty...
Mula memasukki bahagian pasar...
Ada pelbagai gerai-gerai di kiri dan kanan terusan yang menjual pelbagai macam barangan, dari cenderamata hinggalah paintings, dari bahan makanan, rempah ratus hinggalah barangan hiasan (katanya, barangan yang dijual di sini adalah barangan yang dibawa dari pusat bandar Bangkok juga).
Ada juga yang menjual barangan secara bergerak dengan perahu/bot...
Kami naik ke darat sekejap di sini, meninjau hasil-hasil kelapa dan lain-lain barangan. Gula kelapa dihasilkan seperti yang dipaparkan di dalam foto di bawah ini..
Kami sampai balik ke jetty permulaan setelah menjelajah tidak sampai pun sejam. Setelah naik di jetty, baru perasan banner di bawah ini...
Kami bertanyakan drebar kenapa kami dikenakan bayaran THB4,000 tetapi tidak mendapat jawapan yang straight forward, lagipun kami bergegas untuk ke Maeklong Railways Market dengan harapan dapat berada di sana sebelum keretapi sampai.
Pandangan kami, menziarah floating market (Damnoen Saduak) ini adalah
sekadar untuk mengalaminya sahaja. Lebih baik membeli barangan di
Bangkok sekiranya tujuan ke floating market adalah untuk membeli-belah
(kalau sekadar cenderamata kecil tu, ok lah). Sekiranya anda tidak punya
banyak masa bercuti, rasanya lebih baik anda utamakan itinerari
percutian yang lain terlebih dahulu sebelum ke floating market ini.
Pemandangan di sini pun tak seindah seperti mana yang digambarkan dan
apa yang diwar-warkan hanya sekadar untuk tarikan pelancong sahaja.
Jika ingin pengalaman menyusuri sungai, rasanya menaiki boat di Sungai
Chao Phraya Bangkok lagi menarik dan berbaloi. Ada beberapa lagi Chao
Phraya river cruise yang lebih murah sebagai alternatif kepada Choa Phraya Princess Dinner Cruise. Walaubagaimanapun, ianya terpulang kepada citarasa masing-masing.
Maeklong Market
Pasar ni cuma pasar biasa untuk kegunaan penduduk tempatan. Keunikannya kerana terletak betul-betul di landasan keretapi. Harga barang-barang di sini pun sedikit murah jika dibandingkan dengan di Bangkok
Untuk melihat pasar ditutup dan dibuka semasa keretapi melaluinya, anda hendaklah sampai di sana sekurang-kurangnya 15 minit sebelum keretapi sampai. Bergegas dari Damnoen Saduak, drebar pun memandu dengan mengejar masa, kami sampai di Maeklong lebih sedikit dari jam 11.30am, dan hanya dapat melihat keretapi sedang meninggalkan stesen. Tempat letak kereta adalah sejauh lebihkurang 100m dari stesen keretapi/pasar.
Setelah keretapi meninggalkan stesen....
Beli buah mata kucing.. nampak sangat fresh..
Kami sebenarnya ingin melihat dan mengalami sendiri bagaimana gerai-gerai di tepi landasan ini di tutup dan dibuka semula semasa keretapi sampai dan meninggalkan stesen seperti yang dipaparkan oleh video ini.
Menyusul selepas ini, post bahagian kedua, untuk catatan Wat Arun, Masjid Tonson dan 'Little India'.
No comments:
Post a Comment