Kali pertama menaiki penerbangan Qatar Airways, dari KLIA ke OSL (Oslo Gardermoen Airport, Norway) dengan transit di Doha, Qatar.
Ada pameran Seniman Negara P. Ramlee di KLIA waktu kami berangkat.
Kami memilih penerbangan yang mengambil masa transit yang panjang (19 jam lebih) di Hamad International Airport, kerana bercadang untuk singgah di bandar Doha.
*TIPS* Sekiranya anda transit sekurang-kurangnya 8 jam di Hamad International Airport, anda boleh cuba hubungi Qatar Airways untuk mendapat penginapan complimentary (percuma) semasa transit. Syarat utamanya adalah, tiada penerbangan lain sebelumnya, yang kurang dari 8 jam transit.
Sekiranya anda ingin meninjau Doha, pilihlah penerbangan masa transit yang panjang bagi memboleh anda keluar dari airport untuk meninjau Doha beberapa jam ataupun terus bermalam di Doha untuk menyambung penerbangan esoknya. Kami mendarat jam 2pm, penerbangan seterusnya adalah keesokan paginya jam 8. Paspot Malaysia tidak ada masalah untuk keluar/masuk airport Doha.
Sebelum bertolak, kami membaca review yang rata-rata mengatakan masih memerlukan penggunaan transaksi tunai, kerana transaksi kad/elektronik dan sebagainya itu belum meluas di Doha. Jadi kami tukar sedikit Qatar Riyal di KL utk tujuan membayar teksi. Ini kali pertama kami sampai ke Doha, jadi tidak begitu adventurous sangat untuk menggunakan pengangkutan awam lain. Lagipun, bila keluar airport nanti, kami tidak bercadang untuk mendapat capaian internet.
Teksi, tidaklah mahal sangat. Sampai di airport kami cari Karwa, syarikat teksi kepunyaan kerajaan walaupun ada jumpa dalam airport yang menawarkan perkhidmatan Uber (lebih murah katanya).
Apa yang kami dapati setelah sampai di Doha, penggunaan kad adalah meluas. Tidak perlu sangat pakai tunai sebenarnya (Kami langsung tidak bawa cash, matawang Kroner, untuk ke Norway kerana penggunaan kad/elektronik payment adalah meluas di sana)
Sekiranya anda adventurous ataupun sudah berpengalaman, kami cadangkan penginapan berhampiran dengan line pengangkutan awam/metro/bas untuk kesenangan bila transit/bermalam di Doha. Tempat yang ramai orang syorkan adalah Souq Al Waqif. Bermalamlah di kawasan Souq Al Waqif ini atau kawasan-kawasan di sepanjang line merah dalam peta dibawah ini. Jangan jauh dari airport pula, kalau-kalau terpaksa naik teksi untuk ke airport. Bayar lebih mahal nanti.
Penginapan di luar airport jauh lebih murah. Kami menginap di Wonder Palace Hotel, lebihkurang 800 meter berjalan kaki ke stesen metro Umm Ghuwailina. Kami menghabiskan masa di Doha dengan meninjau Souq Al Wakif dan lain-lain tempat, menggunakan pengangkutan awam dengan berpandukan peta di atas.
*TIPS* Pada hari Jumaat, pengangkutan awam ini hanya beroperasi bermula jam 10 pagi, jadi kalau penerbangan pagi, adalah disyorkan anda mengambil teksi/uber untuk ke airport semula. Penerbangan kami ke Oslo jam 7.40pagi. Kami ambil teksi Karwa di hotel jam 4.30pagi. Hari sudah cerah pada jam 4 pagi waktu itu.
Souq Al Waqif
Makan di stesen Umm Ghuwailina sebelum balik ke hotel, tidur awal untuk penerbangan pagi esoknya. Hidangan untuk seorang makan, lebih dari cukup untuk dua orang.
Foto-foto di Hamad International Airport semasa transit penerbangan pulang dari Oslo, Norway.
Dalam perjalanan pulang Oslo-Doha, kami mengambil penerbangan yang transitnya hampir 8jam. Ada penerbangan yang transitnya hanya 3 jam. Kami tidak memilih transit 3 jam ini kerana mengambilkira kemungkinan berlaku kelewatan penerbangan, lagipun kami belum biasa dengan Airport Hamad ini. Kami dapati, pintu berlepas Doha-KL agak jauh, memerlukan naik tren airport dari pintu mendarat semasa tiba dari Oslo. Sekiranya kami mengambil transit 3 jam tadi, agak bergegas juga untuk ke pintu berlepas, lagi parah kalau ada kelewatan penerbangan. Nak kena screen lagi sebelum masuk ruang berlepas setelah mendarat.
*TIPS* Quiet Room - Setelah mendarat dari Oslo, kami mencari "Quiet Room" yang kami perasan semasa berlepas dari Doha ke Oslo dulu. Ada label "For Women Only" disebelah hujung sini, dan sebelah hujung sana pula (lebihkurang 5 minit jalan kaki) ada "Quiet Room for Men Only". Bila kami tanya petugas airport, dia kata tak mengapa boleh masuk. Kami tidur dalam "Quiet Room for Men Only" malam itu sementara menunggu (7 jam) penerbangan ke KL. Cafe/restoran, washroom rooms, ruang solat ada berdekatan di kedua-dua kawasan "Quiet Room" ini. Kawasan terbuka untuk tidur pun banyak disediakan di Hamad International Airport ini.