Pages

We make a living by what we get, but we make a life by what we give - Winston Churchill

Wednesday, 18 March 2020

Istanbul, Turkey - Kembara Balkan (November 2019)

20/11/2019 (Rabu) - 28/11/2019 (Khamis)

Kami tiba di IST (Istanbul new airport) tengah malam waktu Istanbul, dengan penerbangan Turkish Airlines dari Skopje, North Macedonia. Kami dah tempah private transfer dari airport terus ke tempat penginapan di Ayasofya Life Aparts&Suites, yang jauhnya lebih 40km dari airport.

(Private transfer yang ditempah untuk kami bertiga)
Kami sampai dalam pukul 2.30pagi di apartment yang kedudukannya lebihkurang 800m dari dataran Sultanahmet/stesen tram. Menginap 2 malam di apartment 2-bilik ini, kami berpindah pula ke apartment 3-bilik, juga dari rantaian Ayasofya Life Aparts&Suites. Berpindah ke apartment 3-bilik ini kerana ada 2 orang lagi akan tiba dari Malaysia menyertai percutian keesokannya. Apartment 3-bilik ini lebih dekat (lebihkurang 400m) dari dataran Sultanahmet/stesen tram.

Dari apartment ini kami bersiar-siar dengan berjalan kaki sahaja ke tempat-tempat tumpuan pelancong seperti Hagia Sofia, Blue mosque, Tokapi, Arasta bazaar, Basilica cistern, Obelisk of Theodosius, dataran Sultanahmet, Grand Bazaar, Suleymaniye Camii etc. Dari peta di bawah, jalan kaki dalam sekitar 5km radius sahaja.


Ke tempat-tempat yang lebih jauh sikit, seperti Fatih, Eminonu (untuk ke Camlica) etc kami naik tram dari stesen Sultanahmet.


Sturktur ini adalah yang terdekat dengan apartment kami, bila kami berjalan kaki menuju ke dataran Sultanahmet. Photo yang kami ambil pada tahun 2011 ada DI SINI (pertama kali kami menziarah Istanbul adalah pada tahun 2011)

Dataran Sultanahmet juga merupakan tempat perhentian terakhir (line IST-Sultanahmet) bagi bas Havaist airport shuttle


Semasa menjemput dua orang lagi yang tiba dari Malaysia, kami naik bas ini sahaja yang terus ke IST airport. Balik semula dari airport pun lebih senang menggunakan bas ini.

TIPS : Untuk menggunakan pengangkutan awam (bas, airport shuttle, tram, metro, feri etc) anda disyorkan membeli Istanbul Kart yang senang didapati di mana-mana stesen pengangkutan awam. Tonton video di bawah ini bagi mengetahui bagaimana Istanbul Kart ini boleh dibeli di "Mesin Kuning":-


Boleh beli satu sahaja Istanbul Kart untuk digunakan beramai-ramai i.e. bila kad dah diimbas di mesin pembayaran masuk, kad ini boleh dihulurkan bergilir-gilir kepada rakan seterusnya untuk imbas bayaran masuk.

Walaubagaimanapun, sekiranya anda bertiga/berempat, adalah lebih ekonomikal untuk sewa satu teksi (yang juga ada merata-rata di Istanbul ini) daripada membayar secara berasingan bagi 3 atau 4 orang untuk tram/ metro/bas.

Kad Istanbul ini tiada tarikh luput, boleh disimpan untuk digunakan lagi bila datang ke Istanbul di masa hadapan ataupun, boleh dijual kembali (i.e. mendapatkan balik baki yang masih belum digunakan) dengan sedikit caj di mana-mana kiosk/kedai yang menerima penjualan balik kad.


Foto di bawah ini adalah stesen tram Sultanahmet yang lokasinya tidak jauh dari apartment penginapan kami.


Hagia Sofia sudah berubah sedikit gambaran di bahagian dalamnya berbanding dengan waktu kami menziarahinya dahulu pada tahun 2011. Ianya kini merupakan sebuah 'museum' masjid daripada dwi masjid-gereja sewaktu kami menziarahinya dahulu. Sebelum ia diwartakan sebagai sebuah museum, katanya, solat jumaat dan servis gereja pada hari Ahad dilakukan di dalam Hagia Sofia ini di ruangan bersebelahan. Dahulu masih banyak simbol-simbol gereja di dinding/pintu/siling berbanding dengan sekarang.  


Waktu kami di Istanbul, masjid Sultanahmet ataupun the Blue Mosque ini sedang di dalam pembinaan untuk baik-pulih/naik-taraf/renovation.




Helaian janggut dan bekas minuman Nabi yang disimpan di Istana Topkapi.


Basilica Cistern adalah tempat simpanan air bawah tanah zaman dahulu (kuno). Terdapat ratusan cisterns di Istanbul dan Basilica Cisterns adalah di antara yang terbesar. 


Salah satu Medusa, yang ada di Basilica cistern ini


Berjalan kaki menuju ke Suleymaniye Camii (Masjid Sultan Sulaiman), kami nampak sebuah restoran Malaysia, Restoran Nur Muhammad, kepunyaaan GISB Holdings.


Suleymaniye Camii, adalah antara lokasi yang menarik untuk diziarahi kerana kedudukan kompleks masjid di tanah tinggi, tepiannya menghadap laut. Masjid ini dibina oleh Sultan Suleyman the Magnificient.

(Pemandangan mengarah ke laut)
Grand Bazaar, yang mula dibina pada tahun 1455, berusia lebih 550 tahun ini, merupakan salahsatu bazaar atau pasar tertutup/berbumbung yang tertua dan terbesar dunia.


Semasa ke Fatih, kami menaiki tram di stesen Sultanahmet kemudiannya bertukar ke line Aksaray (berpandukan salahsatu Istanbul metro app yang kami download). Dari situ kami berjalan kaki dalam 900m untuk sampai ke Masjid Fatih. Selepas pengalaman inilah kami rasa adalah lebih ekonomikal menaiki teksi (untuk 3 orang) daripada menaiki tram/metro jika ia melibatkan pertukaran lines dua atau lebih.  Masjid al-Fatih ramai dikunjungi oleh warga tempatan, mungkin kerana sejarahnya yang hebat membuatkan sangat dekat dihati mereka.


Masjid Fatih ini dibina oleh Sultan Muhammad Al-Fatih Mehmet II (Mehmet the Conqueror) pada 1462.


Makam Sultan Fatih juga berada di dalam kompleks masjid.


Kami menahan sebuah teksi di depan apartment untuk ke Pierre Loti Hill yang terletak di daerah Eyup. Dengan teksi, kami terus dihantar ke atas bukit, tanpa perlu membeli tiket untuk kabel car yang tak setinggi mana pun.  Meninjau permandangan yang cantik dari atas bukit, bandar Istanbul dan  selat Golden Horn ternampak jelas.  Dan gambaran cerita Al-Fatih pun bermain2 dikepala tentang kegigihan tentera mendorong kapal2 menyeberangi daratan kerana permukaan selat telah ditutup dengan rantai.

Pierre Loti adalah nama pena bagi Louis Marie-Julien Viaud, seorang penulis/navy Perancis yang jatuh cinta terhadap Istanbul setelah pertama kali melawat pada tahun 1876.


Menuruni Pierre Loti Hill (dengan berjalan kaki) melalui kawasan perkuburan, kami sampai ke kompleks masjid Sultan Eyup yang dibina semasa pemerintahan Sultan al-Fatih.  Ia adalah sempena nama sahabat Nabi, Abu Ayub Al-Ansari yang dimakamkan di sini.

Sultan Muhamad Al-Fatih semasa hendak menakluk Constantinople (Istanbul, pada hari ini) telah bermimpi supaya menembusi tembok Constantinople dari sudut di mana makam Abu Ayub berada.


Bekas tapak kaki Nabi yang disimpan di kompleks masjid Eyub.


Selesai bersiar-siar di kompleks masjid Eyub, berpandukan google, kami berjalan kaki ke stesen bas. Bertanya orang di situ nombor bas untuk ke Taksim Square. Semasa menaiki bas, imbas Istanbul Kart untuk 2 orang, tetapi untuk yang ketiga bagi sudah tidak cukup (lupa nak top-up). Walaubagaimanapun pemandu bas memberi isyarat 'OK', tetapi kami membayar juga tambang bas dengan cash.



Kami menyusur jalan tumpuan orang ramai membeli belah di kiri kanan jalan. Singgah membeli sedikit Hafiz Mustafa Turkish Delight untuk mencuba. Walaupun harganya berlipat kali ganda lebih mahal berbanding dengan turkish delight yang dijual di gerai-gerai biasa/bazaar, keenakan rasanya amat berbeza sekali. Sekotak kecil (ada 9 ketul), harganya RM92 (TRL126)



Hari sudah petang, kami mencari stesen tram terdekat untuk kembali ke apartment. Tanpa disedari, kami melalui Galata, kawasan di mana Sultan Al-Fatih menarik dalam 60 buah kapal melalui jalan darat apabila laluan laut dihalang oleh rantai yang dipasang merentasi selat bagi menghalang kapal-kapal masuk menyerang sewaktu penaklukan Constantinople. Berkurun sebelumnya, Nabi pernah menyentuh mengenai penaklukan Constantinople ini.


Kami terpegun melihat kecerunan jalan yang tentu sekali amatkan menyukarkan penarikan kapal-kapal tersebut. Gambaran peristiwa ini dapat dibayangkan disebuah klip video di bawah ini. 


Dahulu, pada tahun 2011, kami naik Bosphorus cruise pada waktu siang hari. Kali ini, host apartment tempahkan dinner cruise pula. Mereka datang ke apartment, mengambil kami ke jetty dan setelah selesai cruise mereka hantar balik ke apartment.



Pemandangan jambatan di hujung cruise sebelum cruise u-turn untuk balik semula.


Siang hari (sewaktu kami menaiki ferry untuk ke Uskudar) nampak macam ini:-


Perjalanan ke masjid terbesar Turkey, masjid Camlica, bermula dengan menaiki tram di stesen Sultanahmet, kami turun di stesen Eminonu Istasyonu. Dari situ kami berjalan ke jeti untuk menaiki feri ke Uskudar. Tiket tram dan feri pakai Istanbul Kart.


Sampai di seberang sebelah jeti Uskudar, kami mengambil teksi (kali ini dengan 5 orang penumpang). Nak ambil dua buah teksi, tapi tuan teksi tu suruh himpit 4 org dibelakang. Ada saja minibas di jeti itu ke Camlica.  Masjid Camlica ialah masjid yang terbaharu dan terbesar, dibina oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan di bahagian asia turkey.


Di Camlica, ada saja stesen bas dekat dengan kompleks masjid. Semasa menunggu bas yang bergerak ikut jadual, ada sebuah 'bas mini' lalu dan hon kami bertanyakan samada kami ingin ke jeti. Terus saja kami naik apabila tambangnya lebihkurang saja dengan tambang bas biasa. Atas 'bas mini' bayar cash kepada pemandu. Pemanduannya macam 'bas mini wilayah', dan hon-hon bakal penumpang di sepanjang jalan ke jeti. 


Bersopim bukanlah keutamaan tiap kali kami ke luar negara, apalagi bila bercuti secara nomad.  Sekadar membeli sesuatu sebagai kenangan.  Tetapi bagi sesiapa yang ke Turkey pasti tidak dapat menolak untuk berbelanja walapun tak banyak, sedikit pun pasti tergoda.  Perbagai barangan yang menarik, dengan seni kreatif yang tinggi pasti ada yang tertawan.  Barangan hiasan emas, perak, barangan kulit, tudung, pakaian, makanan dan macam-macam lagi yang ada.  Kami tidak ada skill tawar menawar untuk berbelanja di bazaar, jadi kami lagi suka masuk ke kedai yang harga tetap. Butik Armine adalah kegemaran kami untuk membeli baju muslimah. Kami juga suka berbelanja di kawasan Eyubi dan Fatih.  Untuk teh turkey pula kami beli di kedai runcit tempat orang tempatan berbelanja.

Semasa kami berjalan2 di luar kawasan spice bazar, kami dapati harga di situ lagi murah.  Kawasannnya luas dan kami hanya berjalan je ikut kaki.  Jumpa seorang pakcik menjual sejadah yang sangat cantik coraknya, harganya pula murah hampir separuh daripada kedai ditepi apartment kami.

Money changer di sana menerima hampir kesemua matawang walaupun jumlah yang kecil.  Jadi kami gunalah kesempatan ini untuk habiskan matawang asing yang ada saki baki percutian yang lepas.  Tukaran RM  juga lebih menarik berbanding tukaran di tempat kita.  Tip tukaran wang ada juga kami catatkan di pos terdahulu... Kembara di Bumi Balkan, pengalaman memandu sendiri.

Pada 28/11/2019 (Khamis), kami terbang ke Kayseri untuk memulakan percutian di Goreme (next post). Kami checked out apartment dan tumpangkan beg-beg di ofis host apartment. Airport transfer, senang dan convenient dari Sultanahmet ke IST menggunakan Havaist airport shuttle yang kami ceritakan di atas. 

Apabila kembali dari Goreme nanti (pada hari Ahad, 1 Disember), kami sewa lagi apartment 3 bilik yang sama untuk semalaman lagi sebelum pulang ke Malaysia. 

Kami menaiki flight Etihad untuk pulang ke Malaysia pada 02/12/2019 (Isnin). Dari apartment, kami tempah saja private transfer (yang sama kami tempah semasa tiba di Istanbul dahulu). Senang untuk kami berlima punggah banyak beg di depan pintu apartment dan terus ke airport.


TIPS di Airport IST - Trolley adalah berbayar (murah saja), boleh didapati di tepi jalan depan balai airport, selepas kami turun dari kereta. Kami bayar dengan kad, selepas pembayaran dibuat di mesin, trolley yang dikunci secara magnetik akan dilepaskan untuk ditarik keluar. Upah porter (kira berapa biji beg) lebih mahal berbanding dengan sewa trolley, beg angkat sendiri.

Simpan resit bayaran tadi. Selepas check in flight, bawa bersama trolley ini menuju balai berlepas. Sebelum ke ruangan balai berlepas ada kiosk untuk imbas balik resit bayaran trolley tadi. Bayaran akan dipulangkan. 


(Kami tidak pasti samada bayaran dipulangkan secara tunai atau kredit balik dalam kad kerana kami tinggalkan saja trolley selepas checked in  di kaunter. Kami ada terbaca notis tentang pemulangan wang sewa trolley ini, tetapi tidak tahu caranya memandangkan balai berlepas kami jauh dari kaunter check-in dan kami ragu-ragu samada boleh membawa trolley sejauh itu untuk sampai ke ruangan sebelum balai berlepas). 


Transit di Abu Dhabi airport (AUH), kami sampai dan mendarat di KLIA jam 10pagi, mengakhiri Kembara Balkan 2019 yang bermula pada 29 October, 2019 (Selasa) hinggalah 03 Disember 2019 (Selasa) iaitu selama 36 hari. 

No comments:

Post a Comment

Facebook Badge

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...