Selepas Jumaat (15/09/2017) kami bersiap-siap untuk bertolak ke Utara bagi menghadiri majlis akad nikad waris yang diadakan pada keesokan harinya. Target sampai sebelum maghrib tetapi terlewat 2 jam kerana ada kemalangan di terowong Ipoh dan juga hujan lebat semasa kami mula sampai ke Juru (jam di tol Juru). Diberitakan ada banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Penang (Pulau).
Tidak lama selepas keluar dari tol, kami singgah di gerai Ida Mee Udang Sg. 2. Kami pernah sampai di Kepala Batas beberapa tahun dahulu, dan pernah menikmati Mee Udang yang lokasinya ke dalam sikit di tepian sebuah sungai. Tidak ingat dah macamana nak ke sana, lagipun hari telah malam untuk mencari-cari tempat. Sos udang di gerai Ida Mee Udang Sg. 2 ini sedap.
Majlis akad nikah dilangsungkan di masjid Jamek Tasek Gelugor pada kesokan harinya.
Selepas majlis akad, kami menghadiri majlis jamuan di rumah pengantin sebelum check-out dari homestay selepas tengahari untuk bermalam di Ipoh.
Dalam perjalanan, singgah di Design Village Outlet Mall yang terletak di Batu Kawan (Bandar Cassia). Outlet Mall ini baru disiapkan dan masih belum lagi dipenuhi keseluruhannya dengan pelbagai outlet. Sempat juga beli kasut di Outlet G-62 di sini, harganya lebih murah dari online store Obermain.
Perjalanan ke Ipoh tidaklah jam dalam cuaca baik, tidak seperti hari semalam. Tiba di hotel Eastana sebelum maghrib, sebuah hotel bajet untuk tidur semalaman sahaja. Kami menempah dua bilik, (walaupun ada bilik family) atas faktor dua bilik air, yakni, tidak lama sangat menunggu giliran untuk mandi kalau ianya hanya satu bilik air di bilik famili. Hotel ini berdekatan dengan Kinta Riverfront, boleh saja berjalan kaki untuk ke situ.
Sesudah refreshed, kami keluar untuk makan malam. Sebelum itu, merayau dulu di Gerbang Malam Ipoh, yang terletak di Jalan Tahwil Azhar. Kiranya sebuah pasar malamlah, beroperasi setiap hari 8.00pm hingga 3.00am.
Beli limau bali untuk dibawa pulang.. harganya berbeza mengikut saiz buah dari RM10 hingga RM25 sebiji.
Bertanyakan kepada En. Google, beberapa tempat makan yang dicadangkan. Kami memilih di 21 Grilled untuk makan malam. Sebenarnya kami merayau dulu di Kinta Riverfront berdekatan dengan hotel tetapi rupanya restoran itu telah pun berpindah. Lalu kami pergi ke cawangannya di Taman Cempaka selepas merayau di Gerbang Malam.
Kopi aisnya (beli asing dibahagian depan sebelah luar restoran) dalam gelas besar, minum 2 orang tak habis (RM7?)
Bahagian dalam restoran...
Nasiblah kami sampai awal sikit, tanpa membuat tempahan awal ada 1 meja kosong ngam untuk kami berempat. Kemudian semakin ramai orang yang datang. Order monster burger (potong lapan), cukup untuk makan 4 orang. Harganya amatlah berpatutan (murah bila dibandingkan harga 4 biji burger di restoran KL) Ada sorang tu order lagi lamb chop.. makan tak habis lalu minta staff bungkus untuk dibawa balik hotel (charge RM3 untuk beli bekas bungkusnya).
Esok paginya, terus check out hotel untuk mencuba breakfast di restoran New Hollywood. Lihat dari luar memanglah kelihatan seperti sebuah restoran china seperti biasanya, tapi yang ini adalah halal.
Bila sampai, orang sudah penuh dan ramai yang beratur menunggu meja. Sempat menjeling ke arah masakan kuew tiaw goreng dan char kuey, tetapi terpaksa telan air liur saja sebab kami kesuntukan masa dan mengambil keputusan untuk breakfast di restoran lain yang tidak ramai orang. Lalu kami pergi ke restoran Pelita yang terletak tidak berapa jauh dari situ.
Selepas breakfast, kami ke bangunan KTM Ipoh...
Berdekatan di situ adalah Masjid Negeri...
Juga tidak jauh dari situ, kami menyusur ke Art of Old Town Ipoh... Mural dinding di sini diinspirasikan daripada budaya masyarakat Ipoh
Kemudian kami meninjau ke Pasar Karat (Loken) Ipoh.. Bukan sahaja barang karat (terpakai) yang dijual tetapi pelbagai jenis barang pun ada. Pasarnya agak panjang dan pengunjung pun ramai, sesak sangat...
Meninjau kawasan-kawasan Gerbang Malam, Pasar Karat, Art of Old Town dan amnya keseluruhan Bandar Ipoh, kami dapati kebersihannya terjaga. Tidaklah nampak sampah sarap dibuang merata, sebuah pandangan yang agak lazim di pasar-pasar di Malaysia. Syabas Ipoh!
Akhirnya sebelum tengahari, kami ke Taman Rekreasi Gunung Lang, yang terletak 6km dari bandaraya Ipoh, itinerari terakhir sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Kawasan gerbang masuk... sekitar kawasan masuk terdapat banyak kawasan untuk meletakkan kereta...
Beli tiket bot (RM3 seorang, 12 tahun keatas) untuk menyeberang ke kawasan Taman rekreasi...
Sampai ke seberang... Taman Rekreasi Gunung Lang... kami menghabiskan masa bersantai di dalam taman.. tempat yang sesuai untuk riadah, jogging dan sebagainya termasuk berkelah (cuma, kalau berkelah membawa makanan tu, jaga-jagalah kebersihan taman ye!). Berlatarkan kehijauan alam semulajadi, tamannya menarik, teduh dan bersih terjaga.. sebuah tandas di kawasan hujung taman yang kami masuki pun nampak terjaga bersih, walaupun agak gelap sikit kerana tak buka suis lampu..
Boleh kot minta kebenaran untuk bermalam di sini? Rumah tradisi kosong...
Basikal juga boleh disewa di taman ini...
Pandangan dari menara..
Teduh serta nyaman...
Ada juga zoo kecil di taman ini...
Menuju ke jeti bot untuk kembali ke seberang gerbang masuk Taman....
Pulang ke KL selepas tengahari... sebenarnya sudah lama kami tidak berkunjung ke Bandar Ipoh.. sering kali melaluinya tapi tidak pernah singgah.. Banyak lagi tempat menarik yang boleh dilawati, membuatkan kami bercadang untuk berkunjung ke Perak lagi...
No comments:
Post a Comment