Pages

We make a living by what we get, but we make a life by what we give - Winston Churchill

Wednesday, 21 February 2018

Amman, Jordan - Feb 2018

Part 1

Hasrat untuk mengunjungi Masjid Al-Aqsa, kiblat pertama muslim, kini kesampaian setelah mendengar cerita-cerita ramai orang dapat memasuki (secara sah) sempadan Israel, walaupun tertulis di dalam paspot Malaysia adalah tidak sah digunakan di dalam Israel.

Kesempatan ini juga digunakan untuk mengunjungi Madinah dan Mekah, yang kali terakhir dikunjungi dahulu pada penghujung tahun 2004 semasa menunaikan haji, bersama Batuta Travels.

Kali pertama mengunjungi Mekah dan Madinah adalah pada tahun 2001, menunaikan umrah kali pertama, bersama TH Travel.

Umrah-Ziarah Baitulmaqdis selama 15 hari bersama Andalusia, meliputi lawatan ke Jordan (Amman), Palestine (Jerusalem), Madinah dan Mekah. Maka lengkaplah ziarah kami ke ketiga-tiga masjid utama iaitu Masjid Al-Aqsa, Masjid Al-Nabawi dan Masjid Al-Haram.


Amman, Jordan

Melalui pakej umrah-ziarah ini, kami tidak memerlukan banyak perancangan kecuali merancang tarikh dan bayar sahaja pakejnya. Segala itinerari, logistik dan lain-lainnya yang terbabit di buat oleh agensi, tinggal ikut sahaja. Bagi kami ianya langkah terbaik bagi menyenangkan urusan visa umrah dan kelulusan masuk (visa Israel) ke Palestine.
Semasa menunggu pendaftaran masuk di KLIA... 😕😠 sungguh tidak bertamaddun!


Bermula di KLIA, rombongan kami seramai 27 orang, berlepas pada 2 Feb 2018, jam 10:20 malam ke Amman, Jordan dengan Royal Jordanian Airlines


Seating dalam pesawat telahpun dikhaskan (block) untuk jumlah ahli rombongan, tetapi tidak tersusun mengikut ahli keluarga. Maka terpaksalah tukar seat suka-sesama-suka setelah menaiki pesawat untuk duduk di sebelah ahli keluarga. Tidak semua ahli keluarga dapat duduk sebelah-menyebelah, terpaksalah menerima sebaik yang mungkin.

Pesawat singgah sebentar (kami tidak turun pesawat) di Bangkok untuk mengambil penumpang sebelum meneruskan perjalanan  ke Queen Alia International, Amman dan sampai pada jam 4:50pagi waktu Jordan.


Agak lengang di Queen Alia International Airport (AMM) sewaktu tiba awal pagi, solat subuh di ruang penerimaan bagasi airport sebelum keluar untuk menaiki bas yang sedang menunggu di luar. Lapangan terbang diberi nama Queen Alia, bagi mengingati permaisuri Almarhum Raja Hussein yang terbunuh di kawasan berdekatan akibat nahas helikopter pada tahun 1977 sewaktu usia beliau 28 tahun. Ia merupakan lapangan terbang utama dan terbesar Jordan, terletak lebihkurang 30km ke selatan bandar Amman.

 

Di luar, apabila menaiki bas, tempat pertama yang dituju ialah restoran untuk bersarapan pagi, 

 

... kemudian ke kedai souviner serta tempat untuk menyimpan luggage kerana kami masing-masing hanya membawa bag kecil untuk ke Palestine. 


Ini adalah untuk mengelakkan pemeriksaan rapi pihak Israel yang boleh memakan masa untuk melepasi sempadan.  Selesai di kedai souvenir, kami bertolak jam 8.45 pagi ke Allenby Bridge, kawasan imigresen Jordan-Israel, untuk melintas masuk sempadan Israel untuk ke Jerusalem, Palestine.

(Catatan lawatan ke Palestine akan dimuatkan selepas ini.)

Selepas 3h2m menziarah Jerusalem, Palestine, rombongan kami kembali semula ke Amman, Jordan. Tempat persinggahan pertama setelah melepasi sempadan Israel-Jordan di Allenby Bridge, adalah makan tengahari di Amman Beach Tourism Resort, Laut Mati


Sayangnya kami tidak mempunyai banyak masa untuk cuba berenang di laut yang dikatakan tidak boleh tenggelam ini dek garam. Tiada hidupan katanya akibat terlalu masin.

Mendapan garam yang terbentuk.  

Apabila memijakkan kaki  ke dalam air dapat dirasai tanah lumpur hitam yang halus.  Laut Mati merupakan tasik besar berkeluasan 27km x 17km, berada 400m di bawah paras laut, kedudukannya di antara sempadan Jerusalem dan Jordan.  Kandungan garamnya ialah 33%

Selepas itu, kami ke Gua Al-Kahfi.


Walaupun cerita penghuni gua ini ada disebut di dalam Surah Al-Kahfi (18), ianya tidak dinyatakan dengan jelas jumlah penghuni gua termasuk anjing.
Mereka akan berkata: "Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka "; dan setengahnya pula berkata:"Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka" - secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: "Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka". Katakanlah: "Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit". Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan yang nyata, dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan. (Al Kahfi 18:22)
Lokasinya juga tidak dinyatakan, lalu ada yang mengatakan lokasi gua ini terletak di Jordan (Kahfi exterior dan Kahfi interior). Sesetengah pula mengatakan ianya di Ephesus, Turki.
Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan kepadanya. (Al Kahfi 18:17)
Masjid yang dibina di sebelah gua al-Kahfi


Pandangan dari hadapan pintu masuk gua.


Bahagian dalam gua di mana terdapat kubur-kubur penghuni.


Boleh nampak tulang-tulang di dalam menerusi cermin ini... bila snap nampak gelap...


Di kawasan persekitaran...


Hampir jam 4 petang, kami mula bertolak menuju bandar Amman untuk check in, tidur semalaman di Al Fanar Palace Hotel.


Jalanraya apabila memasuki bandar Amman sesak kerana waktu puncak.  Penduduk di Amman ialah 4 juta orang dari keseluruhan penduduk Jordan seramai 9 juta orang.  Tiada Metro atau pengangkutan awam yang baik menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk.  Walaupun hotel tidaklah jauh sangat, tapi ianya memakan masa dalam sejam juga untuk sampai.

Keesokan harinya, jam 11 kami check out untuk meneruskan ziarah di Amman, sebelum ke airport di sebelah malamnya untuk ke Madinah.


Tempat pertama yang dilawati adalah maqam* Abdul Rahman Auf (nama sebelum memeluk Islam, Abdul Ka'abah), seorang sahabat Rasulullah yang terawal memeluk Islam. Beliau adalah di antara 8 yang terawal. Abdul Rahman bin Auf (nama yang diberikan sendiri oleh Rasulullah) merupakan sahabat yang terkaya, yang berjuang menegakkan agama bukan sahaja dengan tubuh badannya, tetapi juga dengan kekayaaan yang ada padanya. Beliau merupakan tokoh entrepreneur dunia Islam, bermula sebagai seorang pemuda yang susah yang tidak mahu menerima pemberian dari sahabatnya (kaum Ansar) yang kaya, tetapi meminta ditunjukkan jalan ke pasar. Beliau dikatakan berdagang secara tunai, tidak mahu berhutang dan tidak gemar menyimpan stok dagangannya. Beliau akan menjual dagangannya walaupun ianya memberi keuntungan hanya satu riyal/dirham. Dikatakan kekayaan peninggalannya jauh melebihi nilai kekayaan Bill Gates dewasa ini. 

*maqam - mengikut kata pemandu pelancong kami, apabila disebut maqam, ianya bukan semata-matanya bermakna tempat persemadian. Maqam juga boleh memberi makna kepada sesuatu peristiwa (contohnya, tempat tinggal, tempat persinggahan, tempat berlakunya sesuatu peristiwa ataupun juga merupakan tempat persemadian). Samada seseorang itu disemadikan disesebuah maqam itu ataupun tidak, wallahu'a'lam.


Pemandangan nun jauh dibawah lembah, bertentangan dengan maqam Abdul Rahman bin Auf ini, adalah merupakan 'kem' pelarian Palestine sejak 1948 seramai 150 ribu orang. Lebih setengah juta pelarian Palestine ada di Jordan dan kesemuanya diberikan taraf kerakyatan Jordan oleh Raja Jordan. Ada 13 buah 'kem' pelarian di Jordan dan mengikut kata Ahmad (pemandu pelancong), 'kem' ini adalah sebuah kawasan penempatan di mana sesebuah keluarga pelarian itu diberikan kawasan seluas 100m2 seorang untuk mendirikan rumah. Kawasan ini bukanlah merupakan 'kem' yang dhaif, tetapi dilengkapi dengan kemudahan asas oleh kerajaan Jordan. Orang-orang Palestine ini mempunyai taraf kerakyatan yang sama di mana mereka boleh menjalankan perniagaan, bekerja, mempunyai paspot/ID Jordan dsb.


Seterusnya kami ke maqam Nabi Yusha' a.s., pembantu Nabi Musa a.s. yang membawa suku bani Israel memasukki Kana'an (Palestin).

 

Kata pemandu pelancong, maqam nampak extra panjang sebab katanya kedudukan Nabi Yushaa tidak dapat ditentukan dengan tepat, jadi dibuatnya maqam yang extra panjang untuk cover semua kedudukan yang mungkin.

Di bahagian belakang masjid sebelah maqam Nabi Yushaa, adalah pemandangan lembah Jordan.


Seorang budak menunggu dengan thermos teh panas dan beberapa cup kertas di tangannya..


Dia menjual 'shay'...  Tea...tea.. 1 dolar.. Ahmad mengajarnya beberapa patah bahasa inggeris..

Mulanya, kami tidak ambilpun teh itu kerana berniat sedekah, tapi  Ahmad menuangkan ke dalam gelas dan minta kami mengambilnya. Habis satu thermos teh panas 'dibeli' oleh kumpulan kami. Last seorang makcik yang hulurkan 2 dolar.. nah harga untuk thermos.. kata Ahmad..

Bagus budak ni, ada ciri-ciri seorang entrepreneur.  Budak itu seronok pulang ke rumah yang terletak di bahagian bawah lereng bukit. 


Sepanjang ziarah, kami disarankan supaya tidak memberi sedekah kepada peminta sedekah. Lebih baik didermakan kepada tabung masjid/maqam sahaja. Lebih baik lagi kalau didermakan terus kepada 'caretaker' masjid/maqam kata pemandu pelancong kami. Wallahu'a'lam.

Kemudian kami ke maqam Nabi Shu'aib a.s. salah seorang dari empat orang Nabi yang berbangsa Arab yang disebut di dalam Al Qur'an. Beliau diutuskan kepada kaum Midian. Menurut ahli sejarah Islam, Ibn Khathir, kaum Midian adalah bangsa yang pertama yang mengenakan tol/fi bagi sesiapa sahaja yang melalui sempadan mereka. Kaum itu suka merompak, menipu dan mengambil kesempatan ke atas sesiapa saja yang melalui kota dan penempatan mereka.


Hari sudah menjelang petang, kami menuju ke bandar Amman lagi .... poster Almarhum King Hussein dan puteranya, King Abdullah bin Hussein yang disenangi rakyat...


Foto dari dalam bas.. melewati King Hussein mosque, masjid terbesar di Jordan...


Kami kemudiannya ke King Abdullah Mosque (Blue Mosque), yang di bina oleh Almarhum King Hussein bagi memperingati datuknya King Abdullah.


Bahagian dalam masjid...


Berhadapan dengan masjid ini, di seberang jalan terdapat sebuah gereja besar...


Pelawat dipandu masuk ke masjid melalui kedai cenderamata, bukannya melalui pintu utama perkarangan masjid....


Masjid diwaktu malam...


Selepas di masjid, kami ke Roman Theater berdekatan dengan Hashemite Plaza, yang dibina sejak zaman greek dahulu kala lagi (138-161 CE), di zaman pemerintahan emperor Antoninus Pius.

 

Dari situ berjalan kaki tak berapa jauh  ke deretan kedai, Ahmad membawa ke kedai yang sarat dengan barang-barang souviner yang agak murah harganya.  Aktiviti akhir bershopping sebelum menuju airport bagi mengakhiri ziarah kami ke Jordan kali ini.


Antara lokasi-lokasi lain yang terdapat di Jordan ini yang tidak kami ziarahi adalah maqam Zaid bin Haritha, maqam Jaafar bin Abi Talib, maqam Abdullah bin Rawahah, maqam Nabi Harun a.s., masjid Abu Ubaidah, maqam Muaz bin Jabal, Gua Nabi Lut a.s., rock formation yang dikatakan isteri Nabi Lut (image dibawah)


Penerbangan Royal Jordan ke Madinah pada 1:30pagi hari itu dijangka mendarat di lapangan terbang Madinah pada jam 4:30pagi waktu Madinah. Memang tak dapat tidor.

4 comments:

Facebook Badge

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...