Pages

We make a living by what we get, but we make a life by what we give - Winston Churchill

Monday, 26 February 2018

Jerusalem, Palestine - Feb 2018

(Pakej Umrah Ziarah Baitulmaqdis) - Part 2

Setelah meninggalkan bagasi-bagasi kami di kedai souvenir di Jordan (post sebelum ini), kami bertolak ke sempadan Jordan-Israel, melintas sempadan di Allenby Bridge (Jambatan King Hussein) untuk ke Palestine. Sesampai di pusat imigresen sempadan Jordan, pemandu pelancong kami mengutip paspot untuk urusan imigresen Jordan, tanpa kami perlu turun dari bas. Katanya, beliau kenal dengan pegawai imigresen jadi urusan imigresen di sini telah dipermudahkan.

Mendapatkan visa masuk ke Israel

Kami diberitahu permohonan visa masuk ke Israel perlu dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (semua urusan visa ini dibuatkan oleh agen pelancongan Andalusia). Katanya kelulusan untuk memasuki Israel (kelulusan dari pihak Israel) hanyalah akan diketahui lebihkurang 2 hari sebelum bertolak. Jadi semasa menempah pakej ziarah Bailtulmaqdis ini, risiko kami adalah samada dapat masuk ataupun tidak, melepasi sempadan Israel, walaupun bayaran pakej telah dijelaskan.

Kami juga diberitahu, sekiranya kita pernah melawat negara-negara seperti Aghanistan, Pakistan, Iran dan yang seumpamanya, mungkin pihak Israel akan memeriksa permohonan itu dengan lebih teliti dan kami dengar ada juga permohonan ditolak kerana ini. 

Imigresen di sebelah sempadan Jordan
Selepas dari check-point pusat imigresen di sebelah Jordan ini, kami mula berhenti merakamkan foto-foto perjalanan.  Lebih kurang 5km perjalanan bas untuk memasuki sempadan Israel.  Ada beberapa check point selepas Jambatan King Hussein, terdapat traffic light 2 warna sahaja, merah dan hijau.  Tidak lama untuk setiap traffic light, sekitar 5 minit.  Bus pun kena scan keseluruhannya. Setelah meletakkan kami di pusat pemeriksaan imigresen Israel, bas berpatah balik ke Jordan

Semasa memasuki sempadan Israel, antara yang dipesan kepada kami:-
  1. Jangan sekali-kali merakam foto di mana-mana check-point Israel yang ditemui di sepanjang jalan. Diceritakan, pernah seorang dari ahli rombongan diarah turun dari bas, dan disuruh delete semua image-image yang ada dalam handphone sebelum dibenarkan masuk. Katanya ada kamera/polis mereka yang nampak orang ini merakam gambar dengan handphone.
  2. Lebih baik 'off' phone bila sampai di pusat imigresen Israel.
  3. Jangan ambil foto polis/pengawal Israel di mana-mana pun setelah melepasi sempadan Jordan, sekalipun telah melepasi sempadan.
  4. Berpakaian biasa, tidak berjubah hitam bagi wanita dan lelaki pula elakkan memakai warna putih dan kopiah.
Di pusat imigresen Israel:-
  1. Seperti dicatat di post sebelum ini, sekiranya boleh, bawalah bekalan kain-baju dsb se minima mungkin supaya tidak memerlukan bagasi besar untuk dibawa masuk. Ini untuk menjimatkan masa melepasi pemeriksaan imigresen. Kalau tidak bernasib baik, urusan melepasi check-point Israel ini boleh  mengambil masa berjam-jam lamanya.
  2. Katanya, semasa bercakap dengan mereka, jangan pandang mereka. Hanya jawab soalan yang ditanyakan, jangan bercerita lebih. Sekiranya perlu banyak bercerita, lebih baik buat-buat tak faham dan ajukan kepada pemandu pelancong/wakil untuk menjawab.
  3. Jangan bergurau dengan mereka. Katanya pernah ada kes orang Malaysia kita yang mesra, bergurau senda dan akhirnya tidak dibenarkan masuk.
  4. Buat aksi sebagai pelancong, jangan nak tunjukkan sokongan kepada Palestine, intifada dsb dengan memakai baju intifada (contohnya) atau membawa/memegang sesuatu yang memberi maksud ke arah itu.
  5. Kalau ditanya, jangan kata nak menziarah Baitulmaqdis, cakap aja nak ke Jerusalem (ini diberitahu beberapa kali oleh pelancong kami)
Pengalaman kami melepasi check-point imigresen Israel

Alhamdulillah, rombongan kami seramai 27 orang itu semuanya melepasi imigresen Israel dalam masa kurang dari satu jam. Pihak Israel akan mengambil paspot dua-tiga orang secara rawak untuk bersoal jawab (standard procedure katanya). Seorang daripada kami mengambil masa lebih sedikit kerana terdapat silap ejaan nama di permohonan visa berbanding dengan paspot.

Pusat imigresen Israel tidaklah nampak canggih mana, kalau rating hotel tu, macam hotel lama 2 star ataupun 3 star sahaja. Tapi mungkin kecanggihan peralatan/teknologi yang digunakan tidak terduga oleh kita.

Sebelum ke kaunter memeriksa paspot/kaunter pemberian pas masuk, kami melalui detector yang nampak macam peralatan cabuk aja (beg kami di screenkan di sebelahnya). Alahai, saya kena lalu detector tu berulang-kali sehingga ianya senyap. Kosongkan poket, jam tangan, wallet, entah apa-apa lagi. Bila detector tu dah senyap, barulah ke kaunter paspot di depannya itu, disuruh tunjukkan isi dompet pula.

Setelah itu, kami mengambil beg-beg yang telah siap discreenkan. Setelah semua siap mendapatkan beg masing-masing, kami pun beratur untuk di satu lagi kaunter untuk mendapatkan  pas/permit masuk (kad kecil bewarna biru). Paspot kita tidaklah dicop di helaian mukasuratnya. Katanya, kalau dicop, nanti bermasalah pula nak masuk balik Malaysia kerana ada cop Israel. Betul atau tidak, kami tidak pasti.

Untuk urusan ini, sebuah kaunter dikhaskan untuk rombongan kami berurusan (tidak bercampor dengan orang lain, lagipun tidak ramai sangat orang masa itu).


Semasa menunggu giliran mendapat permit masuk, ada seorang pemuda di barisan sebelah ditemubual oleh pegawai imigresen Israel. Sambil menunggu giliran tu, saya pasang telinga untuk mendengar temubual itu. Mesra temubual tersebut tetapi macam-macam pertanyaan diajukan kepada pemuda tersebut. Yang saya faham, pemuda tersebut pernah ke Afghanistan dan Pakistan sebagai seorang pelajar (yang dapat saya dengar sikit-sikit). Tidak tahu pula samada pemuda tu lepas masuk atau tidak kerana saya telahpun selesai urusan dan keluar untuk naik bas agen pelancongan Jerusalem yang telahpun menunggu kami di sebelah Israel.

Keluar sempadan untuk kembali ke Jordan

Image di bawah ini adalah pas keluar sempadan Israel dan resit exit tax. Masa keluar tidaklah banyak kerenah sangat, kena bayar exit tax (dibayar oleh ejen pelancongan dan diberikan resit). Di kaunter pertama, tunjuk paspot dan mereka keluarkan kad exit permit bewarna pink. Kemudian ke kaunter kedua, tunjukkan kad pink dan resit exit tax.  Sekali lagi, paspot kita tidak dicopkan dihelaiannya.  Tetapi sebelum bus dari Jordan sampai kami tidak dibenarkan berurusan di kaunter, adalah menunggu dalam setengah jam (rasa macam nak naik pesawat pula).  Masa menunggu boleh aje kami layan wifi percuma yang ada di situ.  Beg-beg kami yang ada dalam perut bus Jerusalem semuanya diangkat oleh porter terus dimasukkan ke dalam bas Jordan.


Selepas melepasi imigresen Israel, kami terus ke Jericho, bandar tertua di dunia dan berada di aras paling rendah di dunia. Barulah rakaman foto-foto perjalanan bermula semula.


Palestine dahulu dan sekarang

Dalam peta di bawah Palestine (warna hijau pekat) dari 1946, bermula dengan penempatan Israel (warna putih) sehingga tahun 2010, di mana negara Palestine berubah dari sebuah negara luas menjadi tompokan penempatan. Tebing Barat sendiri (yang sepatutnya penguasaan sepenuhnya Palestine) telah dibahagikan kepada 3 sektor iaitu:-
  • Sektor A, Penguasaan Palestine sepenuhnya contoh Jericho dan Hebron
  • Sektor B, Penguasaan Israel, kependudukan Palestine contohnya sebahagian Jerusalem.. dan
  • Sektor C, Penguasaan Israel, kependudukan Israel di mana, arab Palestine tidak dibenarkan masuk.

Mount of Temptation

Terus kami ke sini untuk singgah sekejap membeli kurma Palestin (dan lain-lain) sebelum ke restoran untuk makan tengahari. Kurma Palestin ini besar dan enak, rasanya kurang manis. Seperti mana di Jordan, urusan jual-beli di sini boleh dilakukan dengan kad kredit, Jordan dinar, USD dan di Palestin ini matawang Ringgit juga diterima.


Dikatakan bahawa, di dalam kitab Injil, Nabi Isa a.s. telah digoda oleh syaitan sebanyak tiga kali di gunung ini.

 

Di restoran makan tengahari di Jericho.

 
 

Selepas makan tengahari kami ke masjid/maqam Nabi Musa.


Projek membaik-pulih Maqam/Masjid Nabi Musa, sebuah projek di bawah Bangsa-bangsa Bersatu (UN), dibiayai oleh Kesatuan Eropah.

 

Seterusnya bas masuk ke kota Jerusalem. Asyik memerhati pemandangan di sepanjang jalan. Terdapat penempatan Palestine di atas bukit yang tidak jauh dengan dengan penempatan Yahudi. Kemudian memasuki terowong menandakan sudah hampir sampai ke destinasi.  Ada satu lagi check-point yang dilalui.  Kenderaan berplat nombor Yahudi bebas untuk keluar masuk, sebaliknya kenderaan pendaftaran Palestine akan diperiksa.

Kemudian jam 3.30pm kami tiba di New Metropole Hotel, tempat penginapan kami untuk 2 malam, yang terletak di Jerusalem berdekatan dengan kompleks Haram Al-Sharif, di mana terletaknya Masjidil Al-Aqsa.  Jam 4pm, kami berkumpul di lobi untuk ke masjid.

 

Hotel terletak di jalan Salah Al-Din (Salehuddin Al-Ayubi)


.. di jalan di mana orang pakir di kiri dan kanan sepanjang masa, dan bas tidak dapat berhenti lama kerana ia akan menghalang lalu lintas.


Laluan harian kami berulang-alik berjalan kaki dari hotel ke kota lama Jerusalem yang letaknya Masjidil Al Aqsa (dan Dome of Rock) adalah melalui gate ini, gate Herods.


Tembok utuh yang mengelilingi Kota Lama Jerusalem di bina pada zaman Turki Uthmaniah di bawah Kesultanan Suleiman sekitar tahun 1535 - 1542.  Kini kota itu terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian Muslim Quarter ialah laluan masuk pelancong muslim melalui gate Herod atau gate Damascus atau gate Lion.  Tiga bahagian lain ialah Jewish Quarter, Christian Quarter dan Armenian Quarter.


Melalui lorong-lorong di celah bangunan penempatan lama yang dihuni oleh warga muslim Palestine.  Kemudian ada lagi tembok mengelilingi perkarangan masjid yang dikawal oleh askar Israel  Lebih kurang 10 minit perjalanan dari hotel  untuk sampai ke perkarangan Haram al-Shariff.


Dome of Rock

Dome of Rock agak sering di salah anggap sebagai sebuah masjid ataupun masjid Al Aqsa. Ia sebenarnya sebuah struktur yang dibina sebagai sebahagian dari masjid Al Aqsa. Ia dibina bagi meliputi batu/rock yang dikatakan tempat Nabi Muhammad S.A.W memulakan mikrajnya.

Setiap hari (dari yang kami alami) solat maghrib dan isya dilangsungkan di Dome of Rock, manakala solat subuh hingga asar dilangsungkan di Masjid Al Aqsa.

 
 

Solat maghrib dan isya' di Dome of Rock tidak begitu ramai pada hari biasa. Semasa kunjungan kami, sebahagian daripada sturuktur bahagian dalamnya sedang diubahsuai.


Bahagian utama/center struktur Dome of Rock ialah bagi meliputi batu/rock yang dikatakan lokasi mulanya mikraj. Batu ini dikatakan tergantung terletak dibahagian bawah/basement di kawasan tengah Dome of Rock. Mereka yang turun ke sini mengambil kesempatan untuk menunaikan solat.


Dome of Rock di waktu malam dan subuh..


Dome of Rock dari arah Masjid Al Aqsa..


Masjid Al Aqsa

Merupakan kiblat pertama kaum muslimin dan merupakan masjid di mana Nabi Muhammad S.A.W.  di israk kan dari Majidil Haram, Mekah dalam peristiwa israk dan mikraj yang terjadi pada 27 Rejab tahun ke-12 dari masa kenabian Baginda, bersamaan 622 Masihi ketika Nabi berumur 52 tahun.  Ini merupakan peristiwa penting bagi seluruh umat Islam kerana pada ketika ini bermulanya solat 5 waktu.

Solat subuh, zohor dan asar di tunaikan sini pada hari-hari biasa. Ianya lebihkurang 100m dari Dome of Rock.


Langit selepas subuh di Masjidil Al Aqsa...


Selepas subuh dan sarapan pagi di hotel kami keluar ke Hebron untuk berziarah, dimulai dengan ziarah masjid/maqam Nabi Yunus.  Hebron ialah penempatan muslim Palestine sepenuhnya. Letaknya kira-kira 30km di selatan Jerusalem.


Dari masjid/maqam Nabi Yunus, kami ke kompleks Masjid Nabi Ibrahim pula, tumpuan utama untuk diziarahi oleh pelawat-pelawat yang datang ke Hebron.... tetapi sebelum itu kami singgah di sebuah kedai cenderamata Palestine.
Kesemua barangan di kedai ini adalah hasil tangan orang-orang Palestine di perkampungan sekitarnya. Kedai ini ditubuhkan bagi membantu ekonomi orang-orang Palestine.   Hasil tangan dari penduduk Gaza, frame ayat-ayat al-Quran sangat halus buatannya dan berseni.  Harganya pun tentulah lumayan.  Meninjau-ninjau apa barangan yang sesuai dibeli untuk dibawa pulang sebagai kenangan.


Untuk ke kompleks masjid Nabi Ibrahim, turun dari bas, kami berjalan kaki dalam 10 minit melalui jalan yang sempit, melintasi deretan kedai/bazar/pasar sebelum tiba di check-point berpagar pihak Israel.


Di check-point kawalan Israel, kami melepasi halangan besi berpusing di depan sebuah kaunter di mana kami perlu menunjukkan paspot kami untuk masuk ke dalam kompleks Nabi Ibrahim.

Selesai ziarah di sini, semasa berjalan menuju ke bas, beberapa orang budak lelaki mengikut kami sambil menjual cenderamata.  Apabila dalam bas, melalui perantara pemandu pelancong barulah kami berani membeli.  Ustaz kemudian mengumpul sumbangan derma untuk diberi kepada budak-budak tersebut.  Penduduk di sini dikatakan yang paling miskin di bawah penguasaan Palestine, anak-anak ramai yang yatim piatu dan ada juga yang ditinggalkan akibat ibu bapa dipenjarakan.

Masjid dan maqam Nabi Ibrahim.

Dikatakan Nabi Ibrahim a.s. telah memilih kawasan ini sebagai tempat persemadian baginda dan keluarga baginda. Ianya merupakan lokasi yang suci bagi kedua-dua pihak muslim dan yahudi. Yahudi juga percaya bahawa Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa juga disemadikan di sini.

Di sini juga terdapat maqam Nabi Ishak (putera Nabi Ibrahim dan Siti Sarah), Nabi Yaakub (putera Nabi Ishak) dan Nabi Yusuf (putera Nabi Yaakub). Kami tidak dapat menziarahi maqam Nabi Yusuf kerana ianya terletak di bahagian penguasaan Israel sepenuhnya.


Maqam Siti Sarah (isteri Nabi Ibrahim) juga ada di dalam masjid ini.


Sejarah Pembunuhan di Masjid Ibrahim

Bulan Ramadan, penghujung Februari 1994, Baruch Goldstein, seorang pendatang Amerika, telah membunuh 29 orang Palestine di masjid ini semasa mereka sedang bersolat menyambut perayaan yang kebetulan jatuh pada hari yang sama dengan perayaan Purim Yahudi. Daripada membantu orang-orang Palestine yang dibunuh, pihak berkuasa Israel seolah-olah memberi ruang kepada Goldstein untuk bergerak bebas. Golstein dijumpai mati dipukul ramai selepas peristiwa itu. Kemudian masjid ditutup selama 9 tahun dan bila dibuka semula sebahagiannya telah menjadi milik Yahudi.   Baca catatan lanjut peristiwa pembunuhan itu di SINI.

Di sebelah petang kami kembali ke masjidil Al-Aqsa. Terserempak dengan salah seorang imam masjid yang juga sepupu kepada pemandu pelancong kami, lalu kami   mengambil peluang untuk bergambar bersama beliau (berdiri no. 2 dari kiri mengadap kamera). Beliau biasanya mengimami solat maghrib & isya' di Dome of Rock.


Yang ini pula, bergambar dengan imam masjid Al Aqsa, yang biasanya mengimami solat Subuh, Zohor dan Asar.


 Di bahagian bawah masjid Al-Aqsa (basement) adalah Al-Aqsa kuno (ancient Al Aqsa) ..


Terdapat tiga tiang (yang dilingkungi oleh struktur moden) di bahagian bawah masjid Al Aqsa ini. Dikatakan tiang ini dibina oleh Nabi Sulaiman semasa membangunkan baitulmaqdis. Ada juga kepercayaan bahawa Nabi Sulaiman a.s. disemadikan di kawasan masjid Al Aqsa ini.


Bersebelahan dengan masjidil Al Aqsa di bahagian bawah tanah, adalah Masjid Marwani. Kawasan solatnya juga luas.


Di satu sudut bahagian Masjid Marwani ini, terdapat satu ruang yang dikatakan bilik Siti Maryam.



Wailing Wall / Western Wall

Inilah tempat (paling?) suci bagi orang Yahudi. Ia merupakan sempadan Haram Al Sharif, di mana dinding ini di kenali sebagai Dinding Buraq bagi orang muslim, tempat di mana dikatakan Nabi Muhammad S.A.W. mengikat buraq baginda dalam peristiwa israk dan mikraj.

Orang Yahudi, selain daripada tempat suci/sembahyang mereka di wailing wall ini, sebelum ini tidak pernah menunjukkan minat terhadap kawasan ini. Tetapi akhir-akhir ini mereka mendakwa bahawa di situlah lokasi Temple Mount dan kini mereka sedang membuat kerja-kerja di bahagian bawah tanah di kawasan itu yang juga melibatkan kawasan bawah tanah perkarangan Haram Al Sharif, bahagian masjidil Al Aqsa.  

Temple Mount yang asal dikatakan dibina oleh Nabi Sulaiman dan kemudiannya dimusnahkan oleh kaum Babylonians. Temple Mount yang kedua kemudiannya dibina oleh Raja Herod tetapi dimusnahkan sekali lagi oleh Empayar Roman. Dipanggil sebagai 'wailing wall' kerana mereka meratapi kemusnahan Temple Mount ini.

Keluar dari sempadan Haram Al Sharif, melalui check-point Israel, kami berjalan kaki menuju ke 'wailing wall'.


Di dalam foto-foto di bawah, semasa kami meninjau 'wailing wall' ini,dari jauh kita boleh nampak kubah Dome of Rock, kubah Masjidil Al Aqsa dan kerja-kerja pengorekan dilakukan oleh pihak Israel di bahagian bawah tanah.


Keesokan hari kami bersolat subuh sebelum kami mula meninggalkan kota Baitulmaqdis.  Bila ke masjid  kami berjalan dalam kumpulan dan diingatkan selalu membawa paspot dan visa bersama.  Ada beberapa orang jemaah dari Indonesia dari hotel sebelah senang menunggu untuk pergi bersama-sama.

Selesai subuh, semasa perjalanan pulang ada saja yang hulurkan teh dan biskut.. tersentuh.. dalam kekurangan mereka masih mampu bersedekah tanda menghargai kunjungan kita. 

Di sini.. jika ingin menyumbang, masukkan saja dalam box yang ada dalam masjid.  InsyaAllah dapat dimanfaatkan sebaiknya.  Jangan diberi kepada anak-anak yang meminta kerana tidak tahu apa yang mereka belanjakan seperti membeli rokok dan benda yang tak berfaedah.  Lagi pula nanti akan ramailah yang datang berkerumun meminta.. itulah yang dipesan oleh pemandu pelancong.

Al Aqsa di waktu subuh..


Dan ulangtahun ke-31 kami... subuh di Al Aqsa..


Dalam perjalanan meninggalkan kota Baitul Maqdis menuju Jordan, kami singgah menziarah makam salah seorang sahabat Nabi, Salman Al Farisi.


Maqam Rabi'atul Adda'wiyyah, ditutup semasa kami melewatinya..


Akhir sekali sebelum meninggalkan bandar Jerusalem, kami ke Mount of Olives untuk mendapatkan pemandangan panorama Haram al Sharif dari puncak gunung. Mount of Olives, satu lokasi yang patut sampai sekiranya bertandang ke Jerusalem.


Bergambar ramai-ramai di Mount of Olives sebelum memulakan perjalanan menuju ke sempadan Jordan.  Tatkala bas semakin jauh meninggalkan bumi Palestine.. tersemat kata-kata terakhir pemandu pelancung di sanubari.. datanglah lagi, masjid al-Aqsa milik umat Islam semua.. penuhkan Aqsa sepertimana Masjid Nabawi dan Haram.. sampaikan pada saudara se islam yang lain...


Abu Hurairah r.a. menyatakan Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Jangan bersusah-susah melakukan perjalanan jauh melainkan untuk berkunjung tiga masjid iaitu, masjidku ini (masjid Madinah), Masjidil Haram (di Mekah) dan masjidil Aqsa (di Jerusalem).


Facebook Badge

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...