Pages

We make a living by what we get, but we make a life by what we give - Winston Churchill

Saturday, 28 April 2018

Isfahan, Iran - Mac 2018

Isfahan : 22 & 23 Mac 2018

Bertolak dari Naqsh-e Rustam selepas makan tengahari, kami sampai dipinggir bandar Isfahan pada sebelah petang, hampir jam 7 petang. Di Isfahan ini, Hojat Sadeqzadeh, sendiri menjadi pemandu pelancong kami sehinggalah ke hari terakhir percutian kami di Iran.  

Bertukar kereta, kami terus ke Setareh Hotel, hotel penginapan di Isfahan. Sesampai di hotel, kami  pun menjelaskan bayaran 90% lagi baki harga pakej kepada Hojat.  Kepenatan setelah perjalanan selama 5 jam, kami bercadang untuk makan  malam di restoran hotel sahaja. Dihidangkan juga dengan Persian live music, yang lunak alunannya di telinga.


Keesokannya meronda (berjalan kaki saja dari hotel penginapan) untuk ke Chehelsotun.


"Teka-teki" di Chehelsotun ini adalah bilangan tiangnya yang disebut ada 40 puluh batang kesemuanya. Tetapi hanya 20 batang tiang dapat dibilang, mana lagi 20?


Kebetulan lawatan kami pada hari itu, ada kunjungan orang besar pelancongan Isfahan (macam ketua pengarah kerajaan bahagian pelancongan agaknya) meninjau Chehelsotun ini, maka adalah pameran-pameran, pertunjukan budaya dan bermacam lagi memeriahkan suasana pada pagi itu.

Yang ini pameran salah satu kaum etnik di Iran, Bakhtiari, yang sebahagian kecil daripada mereka masih mengamalkan hidup secara nomad. Mereka menghasilkan banyak barangan berasaskan kulit kayu dan juga menghasilkan salahsatu jenis permaidani terkenal Iran.


Sekumpulan pemuzik tradisional Iran..



Di sebelah dalam Chehelsotun Palace, terdapat banyak seni lukisan di bahagian siling dan dinding yang menarik serta cantik. Terlalu banyak foto kalau hendak dimuatkan kesemuanya di sini.


Juga disimpan naskah Al Qur'an tulisan tangan yang berusia lebih 1,000 tahun.


Ada gerai pameran hasil tangan salah sebuah universiti di Isfahan semasa hendak meninggalkan Chehelsotun. Sempat juga beli alas meja di gerai ini. Antara barangan lain yang dipamerkan..



Di sepanjang pagar, digantung potongan-potongan ayat Al Qur'an dari beberapa surah..


Singgah di sebuah kedai 'miniaturist', hasil tangan (art) Iran yang terkenal dengan halusnya seni. Kami dihadiahkan dengan suatu lukisan (potret Hafez) yang dihasilkan dalam masa tidak sampai setengah minit pun..


Berjalan lagi, meninggalkan kawasan Chehelsotun, kami sampai ke Ali Qapu Palace.



Di sinipun kami terserempak juga dengan "orang besar" pelancongan Iran yang membuat tinjauan di Ali Qapu Palace. Kali ini, menteri pelancongan Iran pula (katanya, atau menteri perlancongan Isfahan?), siap dengan temuramah TV.

 

Shot dari tingkat atas Ali Qapu Palace ke arah Imam (Shah) mosque Isfahan, yang terletak di seberang hadapan.


Kesemuanya ini (yang merangkumi Ali Qapu Palace, Abbasi Jame / Imam mosque, Sheikh Lotfollah mosque, Naqshe Jahan square, bazaar dll) di kompleks Naqsh-e Jahan Square or Imam Square yang hanya lebihkurang 600m dari hotel penginapan kami. Kompleks ini juga merupakan salahsatu tapak warisan dunia di dalam senarai UNESCO. 


Bendera-bendera negara yang mempunyai bandar kembar Isfanhan, sister/twin city dikibarkan di kompleks ini.


Kemudian kami menikmati makan tengahari di salah sebuah restoran di situ, dihidangi dengan makanan Iran dan juga musik live Parsi.


Setelah itu kami meninjau pula sebahagian daripada bazaar yang ada di kompleks itu. Semasa melalui bazar, didapati banyak hasil kraftangan yang menarik dan cantik, dan tentulah harganya pun agak mahal bergantung kepada kehalusan seni pembuatan mereka.  Isfahan terkenal dengan hasil seninya, harga di sini lebih murah jika berbanding di Tehran dan Shiraz.


Sebelah petangnya kami kembali ke hotel penginapan, untuk akviti sendiri di sebelah malamnya, meronda-ronda serta membeli belah di sepanjang kedai yang sederet dengan hotel.  Restoran pun banyak pilihan untuk makan malam.



Isfahan : 22 Mac, 2018

Keesokan paginya kami dijemput dengan kereta untuk ke Masjid besar Isfahan (atau Masjid-e Jameh) yang juga berhampiran dengan Masjid & Minaret Imam Ali (minaret dan kubah biru di dalam foto di bawah)


Antara jubin-jubin di dinding yang mengukir ejaan "Allah", "Muhammad" dan "Ali"..


Di sini terdapat kesan perperangan  Iran-Iraq (1980). Bumbung yang bewarna putih ialah yang dibina semula setelah runtuh akibat serangan bom udara.


Khajou Bridge - pemandangan jambatan sewaktu air sungai kering. Sewaktu mengunjungi jambatan ini, terdapat perayaan dilangsungkan sempenan menyambut tahun baru Iran.  Mereka memperagakan pakaian dan cara hidup tradisi mereka ratusan tahun dahulu.

 
 
 

Lawatan seterusnya adalah ke Armenian quarter (Julfa) / Vank Cathedral


Tidak berapa jauh dari Armenian quarter,  Manar Jonban (The Shaking Minarets). Menara yang kedua akan "bergoyang/sway" apabila di"goyang"kan menara yang pertama. Dahulu pelancong dibenarkan meng"goyang"kan menara ini tetapi ianya terhad pada selang waktu tertentu untuk mengelakkan kerosakan kepada struktur.  Kami tidak masuk ke kawasan ini, sekadar melihatnya dari luar sahaja dan waktu kami tiba itu, mereka baru sahaja lepas men"goyangkan" menara itu..  seterusnya ialah setiap setengah jam.


Di sini juga terdapat maqam/masoleum Abu Abdollah Soqla, seorang sufi pada kurun ke-14.


Kemudian kami memandu ke kawasan Atashgah (Fire Temple) untuk melihatnya dari jauh. Ia dikatakan tempat sembahyang penganut Zoroastrian, agama tertua dunia.


Dalam perjalanan balik ke hotel penginapan, kami melewati kawasan tepian sungai (airnya telah kering) yang dipenuhi dengan pokok-pokok, di mana terdapat ramai juga warga tempatan sedang berkelah (cuti tahun baru Iran)


Melewati kubur pejuang-pejuang Iran yang terkorban semasa Perang Iran-Iraq (1980). Poster-poster bergambar juga dipaparkan di kebanyakan jalanraya-jalanraya di bandar/pekan/kampung tempat asal pejuang-pejuang tersebut sebagai tanda peringatan.


Akhirnya pada petang itu kami sampai ke "Kuala Lumpur Avenue", tanda bandaraya kembar Kuala Lumpur-Isfahan, di mana "Jalan Esfahan" juga terdapat di Kuala Lumpur berdekatan dengan kompleks membeli-belah Sogo. "Jalan Esfahan" telah memberikan kami inspirasi untuk sampai ke negara Iran.


Selepas bergambar di "Kuala Lumpur Avenue", kami singgah di sebuah kedai buah-buahan berdekatan untuk membeli sedikit pistachio dan fiq kering untuk dibawa balik ke Malaysia.



Buah-buahan kering seperti buah tin dan pistashio lebih murah di Tehran.  Walaupun Iran pengeluar pistachio tetapi harga yang dijual agak mahal, sekitar rm65 sekilo.

Keesokan harinya kami meninggalkan bandar Isfahan untuk ke destinasi seterusnya.

No comments:

Post a Comment

Facebook Badge

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...