Pages

We make a living by what we get, but we make a life by what we give - Winston Churchill

Monday, 18 September 2017

Damnoen Saduak Floating Market & Maeklong Market, Bangkok

Day 4a, Isnin - 28/08/2017

Hari ini (dengan bantuan staff hotel pada hari sebelumnya) kami menempah sebuah teksi dengan drebarnya sekali untuk ke Damnoen Saduak Floating Market dan mana-mana tempat yang menarik di sekitar Bangkok, dari pagi hingga petang. Sewa sehari, THB2,000 termasuk semua (minyak, tol dsb). Drebarnya bolehlah juga berkomunikasi sedikit-sedikit dalam bahasa Inggeris.

Sebenarnya, kami awal-awal lagi sudah tidak bercadang ke floating market kerana pada telahan kami, ianya biasa-biasa saja dan bukanpun kami mahu membeli belah di sana. Itinerari sebenar kami adalah untuk sunset cruise di Sungai Chao Phraya. Kami akhirnya memilih juga Damnoen Saduak ini setelah mengetahui yang harga sunset cruise ini agak mahal. 

Sebagai gantian kepada itinerari sunset cruise, kami menyewa teksi dan drebar seharian untuk pergi ke Damnoen Saduak Floating Market, Maeklong Railway Market, Wat Arun, Masjid Tonson dan akhir sekali meminta drebar meninggalkan kami di 'Little India'/ Phahurat fabric market.

Hajatnya selepas 'Little India', nak jalan-jalan di 'China Town' dan Asiatique, tetapi oleh kerana hujan, kami terus balik ke hotel selepas membeli kain di 'Little India'. 


Damnoen Saduak Floating Market

Pasar terapong ini terletak lebih 100km dari hotel kami yang mana perjalanan teksi mengambil masa lebih satu jam setengah untuk sampai. Keadaan trafik tidaklah jam sangat kerana kami 'melawan' aliran trafik yang masuk ke pusat bandar Bangkok.

Atas arahan King Rama IV, Pasar Terapong Damnoen Saduak (floating market nombor satu Thailand, kata drebar) mula dibina pada kurun ke-18 (1866) dan siap dua tahun kemudiannya, menghubungi sungai Mae Klong dan Tha Chin. Ia merupakan terusan terpanjang (32km) dan mula dijadikan sebagai pusat tarikan pelancongan pada 1971.

Dalam perjalanan, kami melewati kawasan 'brine-salt farm' di mana air laut dipamkan untuk dikeringkan dengan panas matahari. Kami tidak mengambil foto-foto 'ladang garam ini' tetapi dari kereta kami, ianya kelihatan seperti kawasan sawah yang luas (lihat foto-foto di artikel ini yang memberikan penerangan lanjut mengenainya). Kali pertama kami mendapat tahu cara penghasilan garam semacam ini.


Kami juga melewati ladang kelapa yang luas dan Amphawa Floating Market sebelum sampai ke Damnoen Saduak. Kata drebar, Amphawa hanya dibuka pada hari minggu, tidak memerlukan bayaran masuk dan, dijelajahi dengan berjalan kaki, bukan dengan boat/perahu. Ianya terletak lebihkurang 14km sebelum sampai ke Damnoen Saduak.
 
Masih tidak begitu ramai lagi pelancong semasa kami sampai, tetapi kami kena menunggu giliran seketika untuk mendapatkan boat di jetty ini.


Kami mengambil pakej satu boat untuk kami berempat, menjelajahi pasar sehingga 2 jam dengan satu perhentian (naik ke darat) di tempat penghasilan gula kelapa. Bayaran yang dikenakan adalah THB4,000.

Bermula dari jetty...


Mula memasukki bahagian pasar...


Ada pelbagai gerai-gerai di kiri dan kanan terusan yang menjual pelbagai macam barangan, dari cenderamata hinggalah paintings, dari bahan makanan, rempah ratus hinggalah barangan hiasan (katanya, barangan yang dijual di sini adalah barangan yang dibawa dari pusat bandar Bangkok juga).


Ada juga yang menjual barangan secara bergerak dengan perahu/bot...


Kami naik ke darat sekejap di sini, meninjau hasil-hasil kelapa dan lain-lain barangan. Gula kelapa dihasilkan seperti yang dipaparkan di dalam foto di bawah ini..


Kami sampai balik ke jetty permulaan setelah menjelajah tidak sampai pun sejam. Setelah naik di jetty, baru perasan banner di bawah ini...


Kami bertanyakan drebar kenapa kami dikenakan bayaran THB4,000 tetapi tidak mendapat jawapan yang straight forward, lagipun kami bergegas untuk ke Maeklong Railways Market dengan harapan dapat berada di sana sebelum keretapi sampai.

Pandangan kami, menziarah floating market (Damnoen Saduak) ini adalah sekadar untuk mengalaminya sahaja. Lebih baik membeli barangan di Bangkok sekiranya tujuan ke floating market adalah untuk membeli-belah (kalau sekadar cenderamata kecil tu, ok lah). Sekiranya anda tidak punya banyak masa bercuti, rasanya lebih baik anda utamakan itinerari percutian yang lain terlebih dahulu sebelum ke floating market ini.  Pemandangan di sini pun tak seindah seperti mana yang digambarkan dan apa yang diwar-warkan hanya sekadar untuk tarikan pelancong sahaja.  Jika ingin pengalaman menyusuri sungai, rasanya menaiki boat di Sungai Chao Phraya Bangkok lagi menarik dan berbaloi. Ada beberapa lagi Chao Phraya river cruise yang lebih murah sebagai alternatif kepada Choa Phraya Princess Dinner Cruise. Walaubagaimanapun, ianya terpulang kepada citarasa masing-masing. 


Maeklong Market

Pasar ni cuma pasar biasa untuk kegunaan penduduk tempatan.  Keunikannya kerana terletak betul-betul di landasan keretapi.  Harga barang-barang di sini pun sedikit murah jika dibandingkan dengan di Bangkok

Untuk melihat pasar ditutup dan dibuka semasa keretapi melaluinya, anda hendaklah sampai di sana sekurang-kurangnya 15 minit sebelum keretapi sampai. Bergegas dari Damnoen Saduak, drebar pun memandu dengan mengejar masa, kami sampai di Maeklong lebih sedikit dari jam 11.30am, dan hanya dapat melihat keretapi sedang meninggalkan stesen. Tempat letak kereta adalah sejauh lebihkurang 100m dari stesen keretapi/pasar.


Setelah keretapi meninggalkan stesen....


Beli buah mata kucing.. nampak sangat fresh..


Kami sebenarnya ingin melihat dan mengalami sendiri bagaimana gerai-gerai di tepi landasan ini di tutup dan dibuka semula semasa keretapi sampai dan meninggalkan stesen seperti yang dipaparkan oleh video ini. 


Menyusul selepas ini, post bahagian kedua, untuk catatan Wat Arun, Masjid Tonson dan 'Little India'. 

Thursday, 14 September 2017

Pratunam, Bangkok

Day 3, Ahad - 27/08/2017

Pagi-pagi lepas sarapan pagi, terus naik teksi dari hotel ke kawasan Pratunam. Kami meronda dua malls sahaja pun, Platinum Fashion Mall di Pratunam dan MBK Center, di Pathun Wan (lebihkurang 1.6km dari Pratunam)

Keadaan trafik lebih lengang di pagi Ahad.


Sesampai di Pratunam, shopping malls masih belum buka, lalu kami berjalan ke kawasan Pratunam Wholesale Market yang merupakan kawasan gerai-gerai di bahagian luar. Market ini pun baru saja sedang bersiap-siap untuk dibuka. Kami melalui lorong-lorong market ini untuk berpatah balik semula ke kawasan Platinum Fashion Mall.

 
 
 
 

Semasa masuk ke dalam Platinum Fashion Mall, mereka baru saja membuka unit masing-masing untuk memulakan perniagaan


Spend masa hingga selepas tengahari sebelum kami meninggalkan Pratunam untuk ke MBK Center, yang terletak lebihkurang 1.6km dari Pratunam. Kami memesan teksi untuk ke sana.

Sampai di MBK Center, kami mencari Yana Restoran untuk makan tengahari dahulu. Google map / waze menunjukkan lokasi restoran di luar MBK Center, sedangkan kami tahu yang restoran ini berada di dalam MBK Center. Akhirnya kami bertanya kepada information desk yang fasih berbahasa Inggeris yang memberitahu kami bahawa restoran itu terletak di aras 5.


Di antara makanan yang dipesan...


Gerai Thai Muslim Food ini (dalam food court) ada bertentangan dengan Restoran Yana.

 

 Lepas tu baru kami meronda MBK Center untuk sedikit aktiviti shopping...

 

Apa yang diperhatikan di MBK ini, tiada  barangan kulit jenama tiruan yang dijual. Dari segi design nampak macam ada persamaan dengan yang ori, tetapi samada mereka tidak meletak label jenama pada barangan tiruan mereka ataupun mereka letak label jenama sendiri.  Ada kawan yang mengirim belikan walet kulit berjenama. Katanya MBK ini pusat barangan kulit sewaktu dia pergi dahulu. Sepanjang meround tidak jumpa satupun walet kulit berjenama (tiruan), malah di pusat membelibelah yang lain pun begitu juga. Memang ada jumpa walet berjenama, tapi harganya harga ori.


Hari sudah petang selepas di MBK Center lalu kami mengambil teksi terus saja pulang berehat di hotel pada malam itu.

Kos untuk teksi hari ini..
Hotel ke Pratunam 12km  110B
Pratunam ke MBK ..km  50B
MBK ke hotel  ..km  150B

Monday, 11 September 2017

Pasar Chatuchak, Bangkok

Day 2, Sabtu - 26/08/2017

Post sebelum ini, Day 1, bertolak dari Malaysia sampai lepas tengah malam di Bangkok. Masuk bilik penginapan lebihkurang 2.30am dan esoknya jam 9.00am bersarapan di hotel (10 pagi masa sarapan habis).  Menu breakfast agak sederhana bersesuaian dengan status hotel 3 bintang, enak memenuhi citarasa dan yang penting halal.  Boleh makan sosej, ayam, selain ada nasi, mee, salad, cereal, roti dan 2-3 jenis buah setiap hari

Hari ini plannya ke Pasar Chatuchak.  Kami ingin memesan GrabCar/Uber tetapi staff hotel sarankan kami berempat mengambil teksi kerana tambangnya tidak mahal mana dan pagi Sabtu, ramai drebar teksi tidak banyak kerenah untuk menggunakan meter. Tidak payah menunggu kerana banyak teksi ada di luar hotel.

Tidak jadi memesan Uber/GrabCar, dan bila sampai di Chatuchak, tambang bermeternya adalah lebih murah dari Uber/GrabCar.  Jarak dari hotel ialah 18km tetapi mengambil masa agak lama dalam 50 minit perjalanan. Jalan agak jam juga semasa nak sampai. Tambang teksi bermeternya THB200.


Teksi berhenti berhampiran dengan pintu masuk utama JJ Mall.


Kami ronda Pasar Chatuchak di bahagian luar (cuaca panas) dahulu sebelum meronda masuk dalam J.J Mall (aircond)... Pasar Chatuchak mempunyai banyak bahagian mengikut ketegori masing-masing.  Dari JJ Mall ni jalan terus hingga sampai ke pintu masuk yang berdekatan dengan station BTS Mo Chit.

Ini bahagian makanan gerai....


Terliur tengok durian.. tapi kami beli satu pek (2 ulas besar + 2 ulas sederhana) di tepi jalan di Ramkhamhaeng, berdekatan dengan hotel berharga THB120. Rasanya lebih kurang sama sahaja dengan durian siam yang kita beli di Malaysia cuma ulasnya lebih besar, rasanya lebih manis dan isinya lebih tebal. THB120 satu pek tu lebihkurang RM15/16. 

Harga tertera dalam gambar di bawah ini adalah THB120 sekilo. Ini harga di pasar kawasan pelancong, jadi rasanya di pasar biasa harga tentunya lebih murah lagi.

Ini bukanlah bahagian buah-buahan sangat, tapi sebenarnya bahagian peralatan perhiasan rumah...

 

Ini pula dah masuk bahagian dalaman pasar...




Gerai pet di bahagian dalam pasar... macam-macam ada... mulalah Theha cari baju untuk si Comot dan si Sam...


Ini bahagian luar, sebelum masuk ke JJ Mall dari tepi... kawasan gerai-gerai makanan...


Memasuki JJ Mall...



Sebelum meninjau JJ Mall, berhenti pekena aiskrim dahulu... yang kuning tu perisa durian bersama pulut (ungu) dan krim, pinggan sebelah tu vanilla + oreo (sedap), dalam gelas cokelat layer (sedap) dan yang warna pink dalam gelas tu .. perisa lemon? Masam.... bagi yang tak suka masam-masam, janganlah order air limau ke yang seumpamanya... masamnya lebih perit dari tempat kita..


Meninjau JJ Mall dari tingkat bawah....sampai ke tingkat atas (tak ambil gambar pula). Di tingkat atas sekali tu, sempat berhenti di kedai cermin mata, test mata dan beli bingkai kacamata (yang bagus la juga kualiti). Agak murah berbanding dengan yang lebihkurang di tempat kita..


Ini pula dah bahagian bawah,berhampiran pintu masuk utama JJ Mall... ada persembahan tarian Thai.. bersempena apa pun tak tau la sebab tak faham bahasa Thai...


Cuba juga pisang bakar ni, makan atas teksi semasa balik semula ke hotel... ok juga...

 

Balik hotel, makan malam di Restoran Bunga Raya hotel, kemudiannya kami keluar berjalan kaki meninjau 'Night Market' di Ramkhamheang.

Friday, 8 September 2017

Percutian Keluarga ke Bangkok, Ogos 2017

Percutian keluarga selama seminggu ke Bangkok (dari 25/8/2017 hingga 31/8/2017) bermula dengan penerbangan MAS MH796 dari KLIA ke Survanabhumi (BKK) pada 25/8/2017 yang sepatutnya berlepas pada 10:15 malam dan mendarat pada jam 11:20 malam (waktu Bangkok). Agaknya oleh kerana cuaca yang tidak baik pada malam itu, kami dapati banyak penerbangan telah mengalami kelewatan.


Penerbangan kami lewat 45 minit dari jadual asal dan apabila menghampiri Bangkok (lebihkurang 75km dari lapangan terbang) sekali lagi pesawat mengalami kelewatan apabila terpaksa berlegar di ruang udara selama setengah jam lebih,  akibat cuaca di Survanabhumi tidak mengizinkan untuk mendarat.

Akhirnya kami mendarat pada hampir pukul 1 pagi waktu Bangkok. Urusan di kaunter imigrasi agak cepat tetapi bagasi pula yang lambat tiba, kena menunggu seketika.

Perkara pertama kami lakukan bila sampai adalah membeli simkad di airport untuk capaian internet melalui mobile data.  Kami beli Happy Tourist SIM dari dtac. THB299 untuk unlimited* internet selama seminggu dan sedikit call credit.

* walaupun tanpa had, kelajuan 4G nya akan berkurangan apabila kuotanya dicapai.

Teksi ke Hotel/Apartment Regent

Dari balai ketibaan, turun ke level 1, di bahagian luarnya ada mesin tiket teksi yang memberikan nombor giliran. Kami mengambil nombor giliran di mesin teksi bersaiz besar (teksi van) kerana teksi biasa tidak dapat memuatkan kesemua bagasi yang kami bawa. Teksi van agak terhad, jadi kami kena tunggu seketika untuk teksi van sampai. 

Sepatutnya teksi menggunakan meter tapi, pemandu memberi alasan pagi buta dan meminta bayaran sebanyak THB400 untuk ke hotel. Kalau tidak puas hati, boleh saja rakam gambar lesen teksi yang terpampang di dashboard teksi dan buat aduan (sememangpun disaran oleh pihak berkuasa Thai untuk berbuat demikian) tetapi kami kira sebagai 'sedekah' sahaja memandangkan pemandu teksi mencari rezeki. Lagipun THB400 tidaklah keterlaluan untuk sebuah teksi besar.

TIPS - Apabila sampai di BKK, anda boleh juga naik ke aras Balai Berlepas untuk mendapatkan teksi yang juga banyak menghantar penumpang-penumpang untuk berlepas. Mungkin ianya lebih murah/kurang kerenah untuk menggunakan meter. Seeloknya-eloknya ambillah penerbangan yang sampai (dan berlepas) di luar waktu puncak untuk cuba mengelakkan traffic jam.


Hotel/Apartment Penginapan di Bangkok

Kami memilih Apartment/Hotel Regent Ramkhamhaeng oleh kerana dua sebab utama. Ianya berstatus 'HALAL' dan mempunyai bilik untuk memuatkan kami berempat dalam satu bilik (Apartment). 

Lokasinya tidak berapa jauh dari pusat bandar dan senang bergerak menggunakan bas (tapi agak rumit sekiranya tidak fasih bahasa Thai). Anda juga boleh berjalan kaki ke jeti 'water taxi' terdekat untuk ke stesen Bangkok Mass Transit System (BTS) terdekat.


Semasa menempah penginapan ini kami telah tersilap tarikh check in. Kami menempah untuk check in pada 26/8 kerana kami memang mengagak akan sampai lepas tengah malam, iaitu tarikh 26/8 (penerbangan kami 25/8 malam). Setelah menempah penginapan dari Kelab Percutian kami, barulah kami sedar sepatutnya kami menempah untuk check in pada 25/8 kerana waktu check in selalunya pada 2 petang.

Harga bilik untuk 4 orang (2 katil Queen) termasuk sarapan pagi yang kami dapat dari  Kelab Percutian kami adalah lebihkurang RM98/semalam. Untuk check in pada 25/8 itu, kami menempahnya dari Agoda, oleh kerana kami masih ada points yang belum digunakan, di samping kami dapati harga tawaran dari Agoda adalah lebih baik dari tawaran-tawaran website lain. Harga dari Agoda adalah lebihkurang RM180/semalam - perbezaan RM80 semalam. Agak ketara jika dibandingkan dengan harga yang lebih murah yang kami dapat dari Kelab Percutian kami.

 
(Laluan ke bilik - "MINTAK TULUNG KURANG SUARA" ye?)
 
Restoran Bunga Raya Regent

Regent Ramkhamhaeng banyak juga menggunakan papan tanda bahasa Melayu. Ramai dari staffnya juga fasih berbahasa Melayu loghat Selatan Thai. Mereka lebih faham berbahasa Melayu daripada Inggeris. Restoran hotel tempat kami sarapan pagi (dan juga makan malam sebanyak tiga kali) juga dinamakan 'Bunga Raya'. Hotel Malaysia ke ini? Rasanya kami ada terbaca yang ownernya orang Arab/Middle East.

Di antara lauk yang pernah kami pesan semasa makan malam di Restoran Bunga Raya..

(Tom Yam ni sedap dan tidak pedas)


Hari pertama sampai, selepas tidur lebih sikit (kerana sampai jam 2 pagi buta) dan bersarapan, kami terus ke Chatuchak Market (entri selepas ini).

Sebelah malamnya, kami berjalan kaki untuk ke 'Night Market' dan meninjau suasana di malam hari di sekitar Ramkhamhaeng.  Deretan kedai pasar malam kebanyakan menjual pakaian, jeans dan pelbagai.  Kami berjalan agak jauh sehingga sampai ke bahagian menjual barangan terpakai dan makanan.  Kebetulan hujan turun lebat dan kami herhenti seketika menunggu hujan reda sebelum berpatah balik ke hotel.





Jamnya lebih teruk dari Kuala Lumpur, tapi lebihbaik dari Jakarta (kata orang). Tapi List 2017 kata Bangkok yang paling teruk di dunia. Di Bangkok ni, pemandu teksi sering beri alasan 'traffic jam' pada siang hari, dan bila tidak 'jam' di sebelah malam, alasan mereka pula adalah 'tengah malam'. Jadi pandai-pandailah mempertimbangkannya dengan wajar. 

Kami selalu check harga perjalanan dengan Uber/Grab sebagai panduan. Bila pemandu teksi tidak mahu menggunakan meter, kami akan bersetuju bila harga yang disebut hampir sama dengan harga di Uber/Grab.  Beberapa kali kami dapati yang  teksi mengguna meter tambangnya lebih murah sedikit dari Uber/Grab. Perbezaan harga yang tidak berapa ketara agaknya menyebabkan Uber/Grab tidak begitu popular di sini, di samping pihak berkuasanya yang lebih serus dalam soal perlesenan pemanduan teksi (info  dari salah seorang pemandu teksi yang kami naiki)

(Pemandangan biasa di Bangkok - Terlentuk dalam jam)


Facebook Badge

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...