Pagi hari memulakan perjalan dari Sofia untuk terus ke Tetovo, sejauh lebihkurang 300km. Melepasi sempadan Bulgaria - Macedonia di Gyueshevo, tempat yang sama kami memasuki Bulgaria sebelum ini, proses melepasi sempadan lebih cepat dan senang berbanding dulu. Dalam beberapa kilometer melepasi sempadan, berhenti sekejap di tepi jalan untuk menikmati pemandangan daun-daun yang beraneka warna.
Lebihkurang jam 11:30 pagi kami sampai ke destinasi tujuan di Tetovo, iaitu masjid Tetovo yang juga dikenali sebagai "Painted atau Decorated Mosque" atau namanya Sarena Dzamija.
Asalnya dibina pada tahun 1438 dan kemudiannya dibina semula pada tahun 1833 oleh Abdurrahman Pasha.
Turbe (atau kubur/makam) yang ada di dalam kawasan masjid ini, adalah kubur dua beradik perempuan, Hurshida dan Mensure, yang dikatakan telah membiayai pembinaan masjid ini pada tahun 1438.
Pintu depan dan pemandangan dalam masjid.
Dalam lebihkurang jam 12 tengahari, azan zohor dilaungkan dan masjid yang tadinya kosong mula dipenuhi jemaah hinggakan ke ruangan luar masjid untuk solat zohor berjemaah.
Bahagian atas masjid khas untuk jemaah wanita.
Bey's Turkish Amam (Turkish bath) yang berdekatan dengan masjid, di sisi aliran sungai (Pena).
Mengikut kata seorang jemaah/penduduk yang kami bersembang di masjid, Tetovo, majoriti penduduknya terdiri dari muslim Albania. Tidak ada masalah dengan makanan halal di pekan/bandar ini.
Selepas zohor, kami ke pusat pekan/bandar untuk makan tengahari dan membeli sedikit bekalan/grocery.
Pasar sayuran/buah-buahan
Rancangan asalnya ialah untuk bermalam semalaman di Tetovo. Memandangkan kami sampai agak awal di Tetovo dan destinasi seterus hanyalah lebihkurang 130km lagi, kami mengambil keputusan untuk terus ke Ohrid, awal sehari dari rancangan asal.
Hujan renyai-renyai dalam perjalanan ke Ohrid, melalui jalan lereng bukit dan berkabus agak tebal di sebahagian kawasan. Kami tidak akan memandu di sini sekira hari sudah hampir gelap dengan keadaan hujan (jalan licin, apa lagi sekiranya musim sejuk/kabus/salji) dan juga ada bahagian-bahagian jalan yang agak curam serta lebih sempit.
Alhamdulillah kami sampai ke Ohrid sebelum hari gelap, dan host tempat penginapan di Ohrid membenarkan kami untuk mengubah tarikh penginapan (yang kami dah tempah dari Malaysia lagi) awal sehari tanpa apa-apa caj.